HomePendapatTransformasi perladangan Kelapa Sawit untuk pekebun kecil di Sabah

Transformasi perladangan Kelapa Sawit untuk pekebun kecil di Sabah

Read Time:5 Minute, 4 Second

1.         Sektor pertanian memainkan peranan penting di dalam ekonomi serta kehidupan rakyat Sabah. Pada tahun 2021, sektor pertanian menyumbang sebanyak RM 12.5 billion (15.9%) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah. Ia merupakan penyumbang ke-3 terbesar kepada KDNK Sabah, selepas Sektor Perkhidmatan (RM 37.2 billion, 47.3%) dan Sektor Perlombongan & Pengkuarian (RM 20.4 billion, 26%).

2.         Pada masa yang sama, sektor pertanian Sabah menyediakan hampir 500,000 pekerjaan, dan merupakan jumlah pekerjaan ke-2 tertinggi (25.9%) selepas sektor perkhidmatan di Sabah.

3.         Di dalam sektor pertanian Sabah, kelapa sawit merupakan komponen yang terbesar, iaitu melebihi 60%. Terdapat lebih 1.5 juta hektar tanah di Sabah diguna-pakai untuk perladangan kelapa sawit. Malah, kawasan kelapa sawit di Sabah merangkumi 26% daripada jumlah keseluruhan kawasan kelapa sawit di Malaysia, iaitu ke-2 terbesar selepas Sarawak.

4.         Perladangan kelapa sawit di Sabah di terajui oleh syarikat-syarikat kelapa sawit terkemuka seperti FELDA, FGV, Sime Darby, IOI, Sawit Kinabalu dan Sabah Land Development Board (SLDB). Namun begitu, terdapat sejumlah 32,566 pekebun kecil kelapa sawit di Sabah dengan jumlah keluasan kawasan sebanyak 212,199 hektar. Berdasarkan jumlah tersebut, purata keluasan ladang pekebun kecil kelapa sawit di Sabah ialah 6.5 hektar. Menurut definisi Kerajaan Malaysia, pekebun kecil kelapa sawit ialah pekebun yang mengusahakan ladang kelapa sawit dengan keluasan di bawah 40.46 hektar (100 ekar).

5.         Ketika ini, pekebun kecil kelapa sawit di Sabah adalah kurang produktif dan berdaya-saing. Ini disebabkan oleh isu-isu seperti – saiz ladang yang tidak ekonomikal, lokasi ladang yang jauh di pendalaman, ilmu pengetahuan pertanian yang kurang. Mengikut satu laporan oleh ISEAS – Yusof Ishak Institute pada Disember 2020, purata pendapatan pekebun kecil kelapa sawit di Sabah ialah RM 1,500 sebulan, jauh lebih rendah dari pendapatan isi rumah purata Sabah iaitu RM 5,745. Ini meletakkan pekebun kecil kelapa sawit di bawah paras kemiskinan. Pada tahun 2019, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Sabah ialah RM 2,537 sebulan. (PGK digunakan sebagai pengukuran status kemiskinan sesuatu isi rumah)

6.         Pada 12 September 2022, ketika acara Pameran dan Seminar Pemindahan Teknologi Sabah, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan bahawa Kerajaan Sabah akan memaksimumkan penggunaan teknologi dan inovasi bagi meningkatkan produktiviti, daya saing dan pembangunan dalam sektor kelapa sawit di Sabah.

7.         Justeru itu, selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya yang mendukung Revolusi Industri Ke-4 (IR 4.0), pekebun kecil kelapa sawit di Sabah wajar di bantu dengan mengguna-pakai Model Pertanian Pintar. Ini merangkumi teknologi terkini seperti – dron, robotik dan Kecerdasan Buatan/ Artificial Intelligence (AI), yang dapat menambah-baik pengurusan serta operasi ladang kelapa sawit.

8.         Secara am-nya, Model Pertanian Pintar dapat menghasilkan pelbagai manfaat, termasuklah – menambah pendapatan, meningkatkan hasil tanaman, mengoptimumkan penggunaan racun dan baja, membantu kelestarian alam sekitar serta mengurangkan pendedahan manusia kepada racun. Manfaat ini dapat di hasilkan dengan cepat kerana teknologi pertanian pintar telah pun terbukti berkesan sejak di komersilkan beberapa dekad yang lalu.

9.         Syarikat-syarikat kelapa sawit di Malaysia telah mula menggunakan teknologi dron untuk menggantikan kaedah konvensional untuk penyemburan pertanian, terutamanya untuk aktiviti penyemburan racun makhluk perosak. Ini di dorong oleh isu kekurangan tenaga kerja yang meruncing yang dihadapi oleh industri kelapa sawit negara ketika ini. Penggunaan teknologi dron di ladang kelapa sawit terbukti lebih produktif kerana satu unit dron dapat menyembur lebih 12 hektar sehari, berbanding dengan 4 hektar sehari oleh seorang tenaga manusia, iaitu 3 kali lebih produktif. Pada masa yang sama, penyemburan racun menggunakan dron dapat mengurangkan jumlah racun sehingga 80%, serta mengurangkan penggunaan air sebanyak 82%.

10.       Selain itu, teknologi dron dan AI juga digunakan untuk menyediakan analisa data pertanian dengan pantas, tepat serta menyeluruh/ mutlak tanpa kaedah sampling. Ketika ini, kaedah sampling oleh tenaga kerja manusia digunakan untuk mengumpul data di ladang kelapa sawit kerana jumlah pokok kelapa sawit yang begitu besar, di mana satu hektar melebihi 100 pokok. Sekali lagi, penggunaan teknologi dron di ladang kelapa sawit terbukti lebih produktif kerana satu unit dron dapat membuat pemetaan kawasan seluas 250 hektar sehari, iaitu lebih 5,000 hektar sebulan. Seterusnya, maklumat daripada pemetaan tersebut membolehkan teknologi AI menyediakan analisa data seperti Analisa Kiraan Pokok Kelapa Sawit dan Analisa Kesihatan Pokok Kelapa Sawit. Kedua-dua analisa ini dapat membantu pengurusan input pertanian seperti racun dan baja, secara optimum.

11.       Tambahan lagi, penggunaan teknologi dapat merendahkan kebergantungan tinggi kepada tenaga kerja manusia di dalam perladangan kelapa sawit, terutamanya pekerja asing yang berjumlah 42% daripada keseluruhan pekerja di Sabah. Ianya dapat menarik minat bakat muda di Sabah untuk terlibat di dalam sektor perladangan dengan memiliki kemahiran teknologi tinggi serta kerjaya yang berdaya-saing. Ini dapat menyumbang ke arah penurunan kadar pengganguran yang tinggi di Sabah. Pada tahun 2021, kadar pengganguran di Sabah ialah 8.2% (tertinggi di Malaysia), meningkat dari 5.8% pada 2019.

12.       Oleh yang demikian, transformasi perladangan kelapa sawit dengan mengguna-pakai Model Pertanian Pintar mampu meningkatkan produktiviti serta pendapatan 32,566 pekebun kecil di Sabah. Dengan purata isi rumah seramai 4.7 orang di Sabah, bermakna lebih 150,000 rakyat Sabah dapat menikmati hasilnya, iaitu hampir 5% daripada jumlah penduduk Sabah.

13.       Pada masa yang sama, transformasi pekebun kecil kelapa sawit tersebut dapat memberi impak yang besar kepada ekonomi Sabah memandangkan jumlah keluasan 212,199 hektar itu meliputi hampir 15% daripada jumlah keseluruhan kawasan kelapa sawit di Sabah.

14.       Transformasi dengan penggunaan teknologi akan dapat memastikan industri kelapa sawit di Sabah terus mampan, serta meningkatkan kualiti hidup pekebun kecil yang sekian lama di belenggu kemiskinan.

Oleh:
AA
13 September 2022

RELATED ARTICLES
Utama

Dua penjawat awam minta & terima rasuah RM130,000 ditahan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular