Kota Bharu: Perselisihan antara ahli sindiket dadah dipercayai punca utama seorang wanita yang juga ejen jualan kosmetik dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Wakaf Bharu, kelmarin.
Memetik laporan harian Metro,Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal pihaknya mendapati suami kepada mangsa dipercayai terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah.
Susulan itu katanya, polis sudah menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan wanita, semalam bagi membantu siasatan.
“Kita sudah memohon bantuan daripada pihak berkuasa Thailand bagi menyelamatkan mangsa berusia 36 tahun dan usaha ke arah itu giat dilakukan.
“Polis juga percaya mangsa mengetahui aktiviti yang dilakukan suaminya selain mengenali suspek yang melarikannya kelmarin,” katanya pada sidang media hari ini.
semalam seorang wanita dipercayai diculik sekumpulan lelaki di rumahnya di Kampung Semat Jal, Palekbang, Tumpat, pada Selasa.
Dalam kejadian pukul 5.10 petang itu, mangsa, Rosnazirah Mohd Naim yang berusia 36 tahun, didakwa dilarikan empat lelaki dengan menggunakan kereta jenis Toyota Vios berwarna perak.
Suspek turut didakwa mempunyai senjata semasa melarikan wanita berkenaan yang juga seorang ejen produk kosmetik.