HomeSukanSUKMA XX : Andre sukar digugat acara lompat jauh

SUKMA XX : Andre sukar digugat acara lompat jauh

Read Time:1 Minute, 41 Second

KUALA LUMPUR: Atlet kebangsaan mewakili Sabah, Andre Anura @ Anuar jelas sukar digugat apabila pemegang rekod kebangsaan itu mendominasi acara lompat jauh Sukan Malaysia (SUKMA) XX, di sini, hari ini.

Kejayaan itu merupakan emas kedua yang disumbangkan untuk Sabah dalam sukan olahraga selepas Farrel Glenn Felix Jurus menjuarai acara lompat tinggi lelaki pagi semalam yang juga emas pertama kontinjen Sabah pada temasya sukan terbesar negara.

Memulakan lompatan yang dibatalkan, Andre kemudian bangkit memastikan dia masih yang terbaik dengan jarak lompatan 7.40m pada percubaan ketiga.

Walaupun agak jauh berbanding catatan terbaiknya 8.02m tetapi ia memadai untuk dirinya dikalungkan pingat emas, menewaskan peserta Terengganu, Shahrizal Nasharuddin yang menduduki tempat kedua dengan jarak lompatan 7.25m.

Pingat gangsa juga menjadi milik Sabah menerusi Muhammad Sunik Muslimin yang hanya tewas tipis kepada Shahrizal dengan jarak lompatan 7.24m.

“Ini adalah pingat emas kedua saya selepas turut menang emas acara lompat kijang pada SUKMA 2018 di Perak.

“Walaupun catatan saya hari ini jauh dari rekod kebangsaan, saya tetap gembira dengan pencapaian ini,” kata Andre ketika ditemui selepas acaranya selesai.

Andre akan memberi tumpuan kepada acara lompat kijang esok di mana dia juga merupakan peserta pilihan untuk memenanginya.

“Tumpuan saya sekarang adalah untuk acara lompat kijang. Sasaran saya ialah dua emas dan saya menjangkakan rakan sepasukan saya ke Sukan SEA lalu dari Sarawak, Brendon (Ting) akan menjadi pencabar utama.

“Ini adalah SUKMA ketiga dan terakhir saya…sebab itu, saya akan cuba memberikan yang terbaik,” kata Andre yang masih segar dengan gelaran juara Sukan SEA di Hanoi, Mei lalu.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerusi hantaran di Facebook rasminya turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Andre Anura @ Anuar dan Muhammad Sunik Muslimin.

“Syabas dan tahniah kepada atlet negeri Sabah dari sukan lompat jauh lelaki, Andre Anura @ Anuar yang telah menyumbang pingat emas dan Muhammad Sunik Muslimin yang menyumbang pingat gangsa kepada Kontinjen Negeri Sabah pagi ini.

“Ayuh warga Sabahan kita terus berikan sokongan, dorongan semangat dan doa kita kepada atlet-atlet yang berjuang demi negeri tercinta,” katanya.

RELATED ARTICLES
Sukan

Piala Malaysia : Sabah FC waspada bertemu pasukan bekas ‘Ketua Kampung...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular