HomeUtamaPenggodam ugut jual data peribadi penjawat awam

Penggodam ugut jual data peribadi penjawat awam

Read Time:1 Minute, 55 Second

CYBERJAYA — Penggodam menggelarkan diri mereka dari organisasi keselamatan siber ‘gray hat’ mendakwa menceroboh Sistem Penyata Gaji (ePenyata Gaji) penjawat awam, bagi menunjukkan kelemahan sistem itu.

Menerusi e-mel ditujukan kepada media sebelum disiarkan Sin Chew Daily, kumpulan itu turut mendakwa dapat mengakses lebih sejuta baris identiti melalui pangkalan data sistem terbabit dalam format JavaScript Object Notation (JSON) dan comma-separeted values (CSV).

Antara maklumat yang diakses termasuk nama penuh, nombor MyKad, jawatan, jabatan, nombor slip gaji, nombor telefon bimbit, dan alamat e-mel, selain mengekstrak hampir dua juta slip gaji dan borang cukai dalam format PDF dengan jumlah saiz fail 188.75GB.

Menurut laporan Sin Chew Daily, kumpulan itu turut melampirkan beberapa tangkap layar slip gaji beberapa menteri dan ahli politik seperti Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Dalam kenyataan itu juga, kumpulan terbabit mendakwa sudah berhubung dengan kerajaan Malaysia melalui satu e-mel dihantar kepada beberapa pegawai tertinggi kerajaan antaranya, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan, Rahimi Ismail serta pejabat Ketua Audit Negara.

Kumpulan itu menyatakan kerajaan diberi masa sehingga 12 September lalu untuk memberi maklum balas mengenai pendedahan mereka terhadap kelemahan sistem ePenyata Gaji, bagaimanapun tidak mendapat maklum balas diharapkan.

Berikutan itu, mereka merancang menjual semua data yang diekstrak daripada ePenyata Gaji di beberapa pasaran pangkalan data terbuka mulai 19 September ini.

Memetik laporan Sin Chew Daily, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman dilaporkan berkata, satu laporan polis sudah diterima dari Jabatan Audit Negara berkenaan perkara itu dan siasatan sedang dijalankan.

Sementara itu, Jabatan Akauntan Negara dalam kenyataan, semalam memaklumkan pihaknya mengesyaki ada percubaan pencerobohan ke atas sistem jabatan itu membabitkan Sistem Penyata Gaji penjawat awam, baru-baru ini.

“Bagaimanapun, Jabatan Akauntan Negara ingin menegaskan integriti sistem data maklumat kami masih utuh dan telah diperkukuh sebagai langkah berjaga-jaga. 

“Jabatan Akauntan Negara akan terus mempertingkat keselamatan infrastruktur dan mekanisme penyampaian perkhidmatan kami dalam usaha berterusan, bagi mengukuhkan sokongan kepada penjawat awam,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Jabatan Akauntan Negara juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam hal ini untuk memastikan agar perkara ini tidak berulang. 

“Dalam hal ini, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.

RELATED ARTICLES
Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah
Utama

Belanjawan Sabah 2025 pacu pertumbuhan ekonomi melalui sektor utama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular