KOTA KINABALU : Pesilat negara, Merrywati Manuil mahu menebus kekecewaan lepas dengan membawa balik pingat emas buat Sabah pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 pada kali ini.
Katanya yang turut mengakui persediaan bagi menghadapi SUKMA kali ini adalah lebih baik dengan melaksanakan latihan sebanyak empat sesi setiap hari.
“Latihan saya kali ini lebih baik sebab saya mahu capai pingat emas yang terpaksa saya lepaskan pada SUKMA di Perak kerana pada ketika itu penyertaan saya dibatalkan.
“Jadi kali ini saya mahu buat yang lebih baik supaya saya boleh bawa balik pingat untuk Sabah,” katanya kepada Sabah Media di sini semalam.
Anak jati Keningau itu ditemui selepas menerima Sijil Khas Penghargaan sempena sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sabah yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Padang Merdeka.
Sambutan itu turut dihadiri isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag.
Merrywati sebelum ini berjaya meraih pingat emas pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 di Ayer Keroh Melaka dan ingin mengekalkan gelaran juara bagi Kategori Solo Kreatif Puteri pada SUKMA ke-20 yang akan membuka tirai pada 20 September ini.
Katanya, sebaik kembali dari menyertai Kejuaraan Pencak Silat Dunia itu, dia bersama rakan sepasukan lain terus menyambung latihan bagi menghadapi SUKMA di pusat latihan di Petagas.
“Latihan kami diadakan sebanyak empat sesi pada setiap hari iaitu pagi, tengah hari, petang dan malam. Hari Sabtu dan Ahad juga kami adakan latihan,” katanya.
Sementara itu, Merrywati turut mengakui terdapat sedikit tekanan bagi menghadapi temasya sukan negara ini berbanding SUKMA yang lalu.
“Dari segi tekanan, memang saya ada sedikit tertekan dari SUKMA lalu, sebab SUKMA lalu saya mahu mengejar emas, mahu kejar juara. Berbeza kali ini, ada pertambahan.
“Kali ini saya mahu mengekalkan kejuaraan dengan mengejar emas juga, jadi disitu ada sedikit tekanan. Namun saya akan cuba dan buat yang terbaik untuk menghadiahkan emas untuk Sabah,” katanya.