KUALA LUMPUR: Skuad karate Sabah berjaya mencapai sasaran dua pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 menerusi Amirah Syahirah Azlan.
Amirah yang juga pemenang pingat gangsa Sukan SEA Hanoi, menewaskan karatekas Selangor, Kayathiri Alagenthran 5-1 pada peringkat akhir acara kumite wanita -68kg di Dewan Kompleks Sukan UiTM, Shah Alam di sini petang semalam.
Ia adalah emas kedua skuad karate selepas emas pertama dimenangi pasukan kata yang dianggotai Mohd Azhad Haziq Henry dan Mohd Haznil Henry dalam acara kata berpasukan lelaki, Khamis lalu.
Keseluruhannya sehingga petang semalam, skuad karate telah mengutip dua pingat emas, dua perak dan enam gangsa termasuk satu emas, satu perak dan tiga gangsa yang dimenangi pada Khamis.
“Saya gembira kerana skuad karate berjaya capai pingat yang disasarkan pada SUKMA ini. Hari kedua pertandingan agak baik buat kita…ada peluang buat lebih baik tetapi apapun saya gembira kita dapat raih emas kedua.
“Kalau menang lebih dari itu, ia adalah bonus,” kata pengurus pasukan, Richard Ajak ketika dihubungi di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam.
Katanya Sabah terlepas peluang menambah pingat emas apabila seorang lagi finalis, Pressy Misti Philip tewas kepada karatekas Terengganu, Zakiah Adnan untuk hanya berpuas hati dengan pingat perak dalam acara kumite wanita +68kg.
Tiga karatekas lagi menang tiga pingat gangsa iaitu Mohd Zuhair Zulkifli Zainal (kumite lelaki +84kg), Mohamad Iqmal Jafar (kumite lelaki -67kg) dan Vellcarollyne Agustine (kata individu wanita).
Acara sukan karate akan diakhiri dengan tawaran dua pingat emas menerusi acara kata berpasukan lelaki dan wanita pada hari ini.
Sambil itu, sehingga jam 7.30 malam tadi, Sabah sudah mengumpul tujuh pingat emas, enam perak dan sembilan gangsa untuk berada di kedudukan ketiga di kalangan 15 pasukan.
Mendahului carta kutipan pingat ialah Johor dengan 15 emas, 10 perak dan lima gangsa manakala Melaka di kedudukan kedua dengan sembilan emas, tujuh perak dan lima gangsa.
Dalam perkembangan lain, Chef de Mission kontinjen SUKMA Sabah, Mansur Asun merakamkan ucapan tahniah kepada skuad wushu atas pencapaian luar biasa yang menamatkan cabaran petang semalam.
Skuad wushu Sabah yang hanya disasarkan satu pingat gangsa menamatkan cabaran dengan dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa.
“Terima kasih dan tahniah buat skuad wushu atas pencapaian baik mereka ini. Pencapaian ini tentunya satu suntikan semangat kepada skuad lain dan meletakkan kita di landasan baik dalam pemburuan sasaran 40 pingat emas pada SUKMA ini,” kata Mansur yang juga Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah.