HomeIsu tempatan72 pelajar sekolah sertai Renjer Muda TTS

72 pelajar sekolah sertai Renjer Muda TTS

Read Time:1 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU : Seramai 72 orang pelajar dari 15 buah sekolah di tujuh daerah di negeri ini telah menyertai Program Renjer Muda Taman-Taman Sabah (TTS) : Penjelajah Lautan Peringkat Negeri Sabah bagi tahun 2022.

Program yang diterajui TTS dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) itu turut mendapat sokongan Sabah Environmental Education Network (SEEN).

Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TTS Peter Lintar berkata, kerjasama erat antara jabatan dan agensi berkaitan mencerminkan kesepakatan dan komitmen untuk terus mendidik dan memastikan generasi muda khususnya pelajar sekolah di Sabah dapat meneruskan usaha-usaha pemuliharaan khazanah alam semula jadi di masa akan datang.

“Kita amat bertuah kerana memiliki khazanah lautan di dalam kawasan perlindungan marin di Taman Tunku Abdul Rahman ini. Taman Tunku Abdul Rahman adalah kawasan perlindungan marin dengan lima buah pulau dan merupakan taman marin yang terdekat dengan bandaraya Kota Kinabalu.

“Taman yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong ini sentiasa terdedah dengan pencemaran dan kerosakan antropogenik.

“Oleh itu, kesedaran untuk menjaga kelestarian dan kesejahteraan kawasan laut dan pantai perlu dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Renjer Muda TTS: Penjelajah Lautan Peringkat Negeri Sabah 2022 di Pulau Manukan di sini semalam.

Peter berkata, salah satu usaha ke arah memberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga khazanah alam ini adalah Program Renjer Muda Taman-Taman Sabah.

Katanya, program ini adalah inisiatif penting yang dilaksanakan oleh TTS dalam memastikan generasi muda menjadi pelapis yang akan meneruskan usaha dalam pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah alam semula jadi.

“TTS telah membuat perancangan rapi dalam menyusun aktiviti sepanjang dua hari ini agar matlamat program supaya para Renjer Muda Taman dapat menggunakan kesemua deria untuk menikmati khazanah lautan dan mendapat ilmu pengetahuan mengenai ekosistem marin dan kepentingannya untuk dijaga sebagai khazanah alam semula jadi Negeri Sabah,” katanya.

Antara sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Selupoh, Tuaran; SK Serusup, Tuaran ; SK Babagon, Penampang; SK Beringis, Papar; SK Kundasang, Ranau, ; SK Lohan, Ranau, ; SK Sri Gaya, Kota Kinabalu; SK Sacred Heart, Kota Kinabalu ; SK Mutiara, Kota Kinabalu; SK Malawa, Kota Kinabalu; SK Kem Lok Kawi, Penampang; SK Kelawat, Kota Belud; SK Kg. Brunei, Beaufort; SMK Pekan Telipok, Tuaran dan SMK All Saint, Kota Kinabalu.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS, Yun Fook Resources laksana penyelidikan nutrisi murid sekolah di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular