HomeUtamaTindakan tegas KPDNHEP, pantau aktiviti penjualan minyak masak secara dalam talian

Tindakan tegas KPDNHEP, pantau aktiviti penjualan minyak masak secara dalam talian

Read Time:2 Minute, 42 Second

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa melakukan tindakan penguatkuasaan tegas serta pemantauan secara berterusan ke atas aktiviti penjualan barang kawalan berjadual iaitu minyak masak secara dalam talian bagi memastikan aktiviti ini dapat dibendung daripada diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Azman Adam berkata, berdasarkan statistik penguatkuasaan berhubung penjualan minyak masak secara dalam talian pada tahun ini sehingga 19 September 2022, sebanyak 55 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh Negara manakala sebanyak sembilan aduan yang berkaitan telah diterima dalam tempoh yang sama.

“Daripada jumlah itu, sebanyak tiga tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diambil ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab yang melakukan kesalahan berkaitan penjualan minyak masak secara dalam talian melibatkan nilai rampasan berjumlah RM 1,564.90,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azman, antara kesalahan yang dikesan adalah berurusniaga secara borong dan runcit barang kawalan berjadual iaitu minyak masak tanpa lesen yang sah dan menyimpan minyak masak di tempat yang tidak dilesenkan.

“Bagi memastikan aktiviti penyelewengan minyak masak yang dilakukan secara dalam talian ini dipantau dengan lebih berkesan, KPDNHEP telah bekerjasama dengan penyedia tapak pasar secara dalam talian dalam Negara seperti Shopee, Lazada, Mudah.my dan Grabmart.

“Hasil kerjasama terbabit, sebanyak 121 iklan berkaitan penjualan barang kawalan berjadual minyak masak secara dalam talian telah dinyahturun pada tahun ini sehingga 19 September 2022,” katanya.

Azman berkata, KPDNHEP ingin memberi amaran keras kepada semua peniaga yang berurusan dengan barang kawalan dan bersubsidi terutamanya minyak masak agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah dikuatkuasakan dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan
mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyelewengan barang kawalan seumpama ini.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM 1,000,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 3,000,000.

“Selain itu, syarikat juga boleh disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan barang kawalan bersubsidi terutamanya berkaitan minyak masak.

“Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan kepada masyarakat untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan berjadual iaitu minyak masak termasuklah yang dijual secara dalam talian bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut:

i. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000
ii. Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel [email protected]
v. Ez ADU KPDNHEP

RELATED ARTICLES
Utama

Juliah santuni anak-anak istimewa PPDK Tuaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya