KOTA KINABALU : Klip video volkano lumpur di Tabin, Lahad Datu yang tular dilaman sosial baru-baru ini sedikit sebanyak menimbulkan kegusaran pada umum.
Ramai warga maya yang beranggapan fenomena ini berkait secara terus terhadap letusan gunung berapi yang mungkin boleh berlaku pada bila-bila masa.
Tidak kurang juga yang mengaitkan fenomena ini dengan kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di beberapa rantau lain diluar negara. Bukan sahaja pada fenomena tersebut, malah istilah “letusan gunung berapi lumpur” itu sendiri yang selalunya diberikan kepada fenomena volkano lumpur memberi konotasi yang menggerunkan, lebih-lebih lagi istilah “gunung berapi” yang ada di dalam penamaan tersebut mampu memberikan rasa cemas kepada orang awam yang tidak mengetahui mekanisma pembentukan volkano lumpur.
Secara geologinya, volkano lumpur ini bukanlah fenomena yang sama dengan volkano atau letusan gunung berapi. Walaupun istilah “volkano” secara terjemahannya adalah “letusan gunung berapi”, namun volkano lumpur ini jauh sekali daripada memuntahkan bahan cairan lava seperti letusan gunung berapi yang umum ketahui.
Volkano lumpur hanya “meminjam” istilah volkano untuk menjelaskan mekanisma bahan lumpur yang dipaksa keluar daripada bawah tanah untuk keluar ke permukaan.
Tekanan beban atas (overburden pressure) terhadap lapisan yang kaya dengan bahan lumpur yang terbentuk jauh dibawah pemukaan tanah, menekan dan memaksa bahan lumpur dalam bentuk cecair bersama gas metana keluar ke permukaan menerusi sesar, retakan atau zon lemah pada batuan.
Bagi kawasan Lahad Datu, zon sesar atau lemah ini terdiri daripada batuan hancur atau istilah geologinya dikenali sebagai melange. Fenomena ini juga seringkali dirujuk sebagai diapir lumpur (Mud diapir) yang mempunyai mekanisma sama namun tidak memuntahkan lumpur sehingga ke permukaan.
Volkano lumpur merupakan fenomena yang biasa berlaku di Sabah, bahkan boleh ditemui di beberapa kawasan di Sabah. Namun apa yang lebih penting adalah, fenomena volkano lumpur bukanlah suatu petanda bencana seperti letusan gunung berapi boleh berlaku pada masa terdekat.
Dua Felo Penyelidik Geologist daripada Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS), menjawab banyak pertanyaan daripada pihak awam sejak beberapa hari yang lalu, dan di sini Dr. Hardianshah Bin Saleh (P.Geol) dan Prof. Dr. Baba Musta (P.Geol), menerangkan dengan lebih saintifik mengenai fenomena tersebut.
Menurut Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus, penerangan yang lebih jelas serta saintifik seperti ini adalah penting, terutamanya daripada Pusat Penyelidikan seperti NDRC agar tidak menimbulkan kebimbangan daripada pihak awam.
Pusat Penyelidikan NDRC, UMS, memang giat dalam keterlibatsamaan dalam memberikan Pendidikan Awam, termasuklah Bencana Gempa 2015.
NDRC dilihat bukan setakat sebagai pusat rujukan untuk orang awam, tetapi juga sebagai focal point untuk penyelidikan yang berkait dengan Sains Alam Sekitar dan Bencana serta Pengurusannya, terutamanya di negeri Sabah.