HomeUtamaSekolah, universiti berperanan hasilkan modal insan berorientasikan STEM

Sekolah, universiti berperanan hasilkan modal insan berorientasikan STEM

Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU : Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) sentiasa mengambil pelbagai inisiatif bagi melahirkan negara bangsa yang terdidik dengan akhlak terpuji dan berminda kelas pertama.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, negara memerlukan tenaga kerja yang berteraskan Sains,Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memacu ekonomi berasaskan inovasi.

Katanya, peranan sekolah dan universiti sangat penting dalam menghasilkan modal insan berorientasikan pendidikan STEM.

“Dunia kini bergerak ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang banyak mengaplikasikan teknologi berbentuk Artificial Intelligence.

“IR 4.0 akan menyaksikan mesin dan komputer memainkan peranan yang sangat signifikan yang dilihat akan mengambil alih peranan manusia dalam melakukan tugasan sama ada dalam konteks industri atau operasi rutin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Karnival Sains Sabah dan Minggu Sains Negara Peringkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini semalam.

Terdahulu teks ucapan Yakub dibacakan Timbalan Setiausaha Tetap 1 KSTI Maria Chong.

Yakub berkata, kejayaan program ini menggambarkan kesepakatan semua pihak dalam mendukung hasrat wawasan negara pada masa akan datang.

Katanya, pihak kementerian akan terus berusaha dan memastikan bidang pendidikan di negeri ini akan terus berkembang maju dan mengalami proses transformasi.

“Pelbagai idea dan pemikiran baharu, telah dan sentiasa dijelmakan seperti penganjuran program ini yang berupaya memantapkan sistem yang telah sedia diimplementasikan secara lestari.

“Penganjuran program seumpama ini di bawah inisiatif pengukuhan STEM diharap dapat memupuk minat masyarakat terutamanya pelajar dalam bidang STEM dengan lebih sistematik dan holistik,” katanya.

Katanya, pelbagai inisiatif dihasilkan dan dipacu dengan lebih pantas agar memberi impak yang positif kepada warga sekolah, universiti, komuniti dan negeri Sabah.

Sementara itu, Yakub berkata, anjakan pemikiran yang menjangkau masa hadapan dan merentas pelbagai disiplin keilmuan serta kemahiran itu perlu digarap secara mapan.

“Justeru, kepimpinan universiti, sekolah, pensyarah dan guru perlu komited bagi menyedia dan melahirkan modal insan yang mampu menghadapi cabaran global yang dinamik.

“Semua pihak termasuk ibu bapa diberi kesedaran dan penerangan mengenai kepentingan bakat baharu dalam bidang STEM, selain memastikan kelestarian pembangunan teknologi diteruskan dalam kalangan generasi masa hadapan, seterusnya dapat menyingkirkan tanggapan STEM merupakan mata pelajaran sukar serta membosankan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

MUIS serah sumbangan kepada 16 KIR terjejas kebakaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular