Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Wilayah Sabah dan Labuan (KEPMAS) optimis untuk terus mara ke hadapan demi melindungi dan memperjuangkan hak serta kebajikan ahli-ahlinya.
Presiden KEPMAS, Jekeria Semat berkata, sejak tertubuhnya KEPMAS 30 tahun yang lalu dengan kekuatan seramai 294 ahli, kini banyak kejayaan yang telah dikecapi antaranya peningkatan dari segi gaji pekerja.
Katanya, semua gaji permulaan di Malaysia Airport di antara yang paling tinggi dibandingkan dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain.
“Selain itu, penambahan elaun-elaun baharu juga diberikan seperti elaun pengangkutan, elaun perumahan, menambah baik berkaitan kebajikan pekerja seperti cuti ehsan, cuti melahirkan anak dan banyak lagi,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tiga Tahunan Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Wilayah Sabah dan Labuan kali ke-12, di sini pada 10 September lalu.
Menurut Jekeria, sejak menularnya pandemik COVID-19 serta berkuatkuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak negara di seluruh dunia telah berdepan dengan cabaran yang tidak pernah dialami sebelum ini.
“Ekonomi dunia terjejas dan kita tidak terkecuali apabila data menunjukkan ekonomi kita merosot secara mengejut pada suku kedua 2020. Tidak cukup dengan itu, di Malaysia kadar pengangguran telah meningkat mendadak.
“Saya percaya ramai di kalangan kita pada waktu itu terkesan melihat keadaan dunia apatah lagi bila tercetusnya rasa bimbang dalam kalangan kita bila melihat banyak sektor perniagaan terpaksa menggulung tikar kerana tidak mampu menanggung kos operasi yang tinggi. Lebih menyedihkan kita sendiri melihat banyak syarikat yang terpaksa memberhentikan pekerja akibat tidak mampu membayar gaji dan meneruskan perusahaan masing-masing.
“Walau bagaimanapun kita yang berkerja di Malaysia Airport ini masih bersyukur kerana syarikat sentiasa menjaga kebajikan warga kerjanya dengan tidak membuat sebarang pemotongan gaji atau elaun malah tiada warga kerja diberhentikan kerja disebabkan pendemik COVID-19,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan kepada semua warga kerja supaya berganding bahu dan memberikan sokongan padu kepada Malaysia Airport Berhad sekaligus meningkatkan prestasi kerja seperti yang diamanahkan.
“Maju mundur sebuah lapangan terbang itu bukan terletak di bahu airpot manager atau ketua- ketua unit semata-mata, tetapi memerlukan sokongan padu dari semua warga kerja,” tegasnya.
Hadir sama ke mesyuarat itu ialah Pengurus Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu , Jefry Ramli, Ketua-ketua unit, Tadjuddin, Junaida Yakup, Rehan Shafiq, Rosnia Yahya, Rijap Saman (Mantan Yang Dipertua) dan penyelaras- penyelaras dari Lapangan Terbang Sandakan Sharifah Saibol, Johjiee Jumari (Labuan), Sakka Jacis (Tawau), Daniel Muh Amin (Lahad Datu) dan Ahli-ahli KEPMAS.
Senarai Exco Tertinggi Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Sdn Bhd Wilayah Sabah (KEPMAS) sesi 2020/2023
Presiden: Jekeria Semat
Naib Presiden: Mohd Hidayatullah Arbani
Setiausaha : Norzalifah Tawaoh
Penolong Setiausaha : Salman Khan Said
Bendahari : Mazlan Rozan
Penolong Bendahari : Wendy Kimliat
AJK:
1) Hussin Sani
2) Norman Polisol Abdullah
3) Abdul Malik Ismail
4) Jale Amang
5) Thomas Jenulis
6) Stephendz Arryn Abat