106 pelatih terima sijil pentauliahan Inspektor Kor SUKSIS Zon Borneo

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 59 Second

KOTA KINABALU: Seramai 106 pelatih telah menerima Sijil Pentauliahan Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Zon Borneo di sini baru-baru ini yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Daripada jumlah tersebut, 68 pelajar adalah dari UMS sementara 38 pelajar dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Mereka menerima sijil pentauliahan daripada Pesuruhjaya Polis Sabah, Dato’ Idris Abdullah.

Idris berkata, penubuhan Kor SUKSIS bertujuan untuk memberi pendidikan dan pendedahan latihan kepolisan kepada para pelatih di samping menjadi salah satu aktiviti kokurikulum utama dan penting di setiap universiti awam.

“Pelatih Kor SUKSIS perlu menjalani latihan selama 3 tahun atau enam semester yang melibatkan 672 jam secara keseluruhannya, mengikut silibus latihan yang telah diselaras dan ditetapkan di semua universiti awam.

“Dengan adanya modul-modul latihan yang ditetapkan seperti Modul Latihan Kawad, Modul Latihan Senjata, Modul Kursus Asas Pasukan Gerakan Am dan Modul Program Khidmat Masyarakat, pegawai-pegawai Kor SUKSIS diyakini mampu untuk menjadi seorang graduan yang memiliki kemahiran insaniah yang tinggi, sekali gus membentuk sahsiah cemerlang sebagai pemimpin berkaliber serta berpengetahuan dalam bidang kepolisan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pentauliahan Inspektor Kor SUKSIS Zon Borneo Tahun 2022.

Menurut Idris, negara sememangnya memerlukan generasi pemimpin yang berilmu, berbudaya cemerlang, bertanggungjawab, berwawasan, berintegriti dan mempunyai daya ketahanan yang kental serta bersemangat waja dalam melaksanakan agenda negara.

Justeru, beliau turut menyuarakan harapan agar pegawai-pegawai Kor SUKSIS UMS dan UNIMAS dapat menceburkan diri dalam dunia kepolisan dengan menjadikan kerjaya kepolisan sebagai pilihan utama.

“Tuan-tuan dan puan-puan bolehlah memohon untuk menjawat jawatan sebagai Pegawai Kanan Polis berpandukan kepada tawaran pengambilan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

“Pengalaman menjalani latihan bersama Kor SUKSIS akan menjadi satu kelebihan dalam proses saringan dan temu duga yang dijalankan,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Profesor Madya Dr. Raman Noordin berkata, para pelatih diingatkan untuk sentiasa menjaga nama baik UMS mahupun UNIMAS selepas ditauliahkan.

“Amalkan nilai integriti dalam menjalankan sebarang tugasan dan tunjukkan akhlak yang terpuji sebagai tanda anda merupakan seorang pelajar dan juga pelatih Kor SUKSIS yang berintegriti serta disegani.

“Manfaatkan ilmu dan pengalaman sepanjang berada dalam pengajian di universiti untuk dimanfaatkan bersama masyarakat kelak,” katanya.

Turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri, Komandan Kor SUKSIS UNIMAS, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit dan Timbalan Komandan Kor SUKSIS UMS, Profesor Madya Dr. Peter Voo Su Kiong.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *