KPDNHEP Sabah tumpaskan kegiatan seleweng barang kawalan diesel

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah berjaya menumpaskan.kegiatan penyelewengan barang kawalan diesel dalam satu operasi di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Kibabaig, Penampang, semalam. (28 Sept)

Pengarah KPDNHEP Georgie Abas berkata, hasil serbuan pada jam 5.30 petang itu, pasukan serbuan telah menjumpai dan menyita sebanyak 15,683 liter minyak diesel dalam skid tank, sebuah lori, sebuah skid tank, tangki minyak kenderaan pelbagai kapasiti, dan satu unit electronic pump, yang disyaki digunakan untuk menyeleweng dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM114,018.45.

“Tiga orang lelaki warga tempatan yang dipercayai pekerja di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Georgie, risikan telah dijalankan selama lima hari oleh KPDNHEP Sabah sebelum serbuan dijalankan.

“Berdasarkan keterangan awal, pekerja di lokasi tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

“Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan
tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

“Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

“Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.

“KPDNHEP Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan,” tegasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *