Dr Kasim dilantik Naib Canselor UMS yang baharu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU : Datuk Profesor Dr Kasim Mohd Mansur,61, dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu berkuat kuasa mulai 3 Oktober ini.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan Dr Kasim adalah bagi mengantikan Datuk Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin yang tamat tempoh memegang jawatan itu pada penghujung Julai lalu.

“Berdasarkan reputasi kepimpinan institusi yang dimiliki, Datuk Prof. Dr. Kasim Mohd Mansur berkemampuan untuk membentuk jaringan hubungan kerja yang harmoni dengan semua pemegang taruh berkepentingan khususnya di Negeri Sabah.

“Kementerian juga yakin beliau mampu meneraju UMS sebagai salah sebuah universiti pilihan di peringkat nasional seterusnya melonjakkan kecemerlangan akademik secara keseluruhan,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

KPT turut mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin atas jasa bakti beliau menerajui UMS sebelum ini.

Dr Kasim merupakan anak kelahiran Sabah dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi dari Indiana State University, Terra Haute, Amerika Syarikat sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran dalam bidang yang sama di University of Wisconsin, Amerika Syarikat.

Beliau juga sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS selama lima tahun dari tahun 2009 hingga 2014.

Selain itu, beliau merupakan seorang tokoh akademik yang sangat disenangi dalam kalangan pegawai dan pelajar UMS.

Di peringkat Negeri Sabah pula, beliau memberi sumbangan yang signifikan kepada rakyat Sabah sebagai Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Sabah dan Ahli Lembaga Institute For Development Studies Sabah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *