HomeUtamaJenayah rentas sempadan perlu ditangani bersama semua pihak

Jenayah rentas sempadan perlu ditangani bersama semua pihak

Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU : Ancaman jenayah rentas sempadan merupakan antara perkara besar yang dihadapi negara yang perlu ditangani bersama oleh semua pihak khususnya di Sabah.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, jenayah ini dilihat merangkumi pelbagai aspek termasuklah ideologi dan fahaman; keganasan dan golongan radikalisme serta pengubahan wang haram.

Katanya, jenayah rentas sempadan juga merangkumi penyeludupan barangan dan manusia serta jenayah terancang.

“Jenayah rentas sempadan ini merupakan satu jenayah yang kadang-kadang kita fikir hanya keluar dan masuk sempadan kita.  Hingga hari ini jenayah paling hebat adalah ideologi dan fahaman rakyat kita yang mungkin terpesong dengan penggunaan kaedah yang ada di zaman ini.

“Keganasan radikal ini juga dilihat dibawa dari luar.  Kita di negara ini khususnya Sabah hidup aman dan damai.  Semua ini merupakan jenayah yang boleh kita tangani bersama apabila semangat patriotisme itu ada dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Townhall bersama Menteri Dalam Negeri sempena Program Kita Demi Negara di perkarangan Kompleks Sukan Likas di sini hari ini.

Program Kita Demi Negara itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Hamzah berkata, selain jenayah rentas sempadan, negara juga berdepan dengan isu pencerobohan sempadan khususnya di Sabah yang mudah dibolosi berikutan sempadan yang begitu luas meliputi sempadan darat mahupun laut.

“Sempadan luas dan panjang di Sabah ini menyebabkan banyak jenayah yang berlaku.  Pencerobohan bot nelayan asing masuk kerana ini mengaut hasil negara, maka ini semua harus kita jaga bersama dan jangan menyalahgunakan lesen yang diberikan oleh Kerajaan.

“Penculikan untuk wang tebusan (KFR) juga menjadi antara perkara yang dihadapi negara.  Semua ini bukanlah tanggungjawan kepada pihak penguatkuasa semata-mata namun kita semua juga bertanggungjawab memastikan negara kita selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara ini khususnya di Sabah juga menjadi masalah yang besar kepada negara.

“Di Sabah sahaja, sudah hampir 1 juta PATI dianggarkan tidak mempunyai dokumen, apabila mereka tiada dokumen sudah tentu mereka tiada masa depan khususnya anak untuk bersekolah selain mendapat sumber pendapatan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Perdana Park masih ditutup atas faktor risiko keselamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular