HomeUtamaPendataan Digital selesai masalah PTI di Sabah

Pendataan Digital selesai masalah PTI di Sabah

Read Time:2 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU: Isu pendatang tanpa izin (PTI) yang telah membelenggu rakyat Sabah sejak sekian lama akan diselesaikan secara tuntas melalui pendataan digital bagi mendapatkan jumlah sebenar PTI di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pendataan akan dibuat ke atas semua pendatang asing untuk memastikan mereka mempunyai dokumen yang sah untuk tinggal dan bekerja di negeri ini.

Menurutnya, fasa berikutnya selepas selesai pendataan digital tersebut ialah fokus kepada penyeragaman dokumen bagi memastikan semua yang berada di Sabah adalah didokumenkan secara teratur.

“Sekiranya kita dapati warga asing berkenaan adalah tergolong dalam pendatang tanpa izin, maka kita tidak akan teragak-agak untuk menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada.

“Tindakan ini telah pun dibincangkan dengan teliti dan disokong oleh Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah bin Zainuddin”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Program “Kita Demi Negara” Zon Sabah anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dataran Kompleks Sukan Likas, hari ini.

Hajiji menegaskan, Kerajaan Negeri tidak teragak-agak dalam mempertingkatkan keselamatan di negeri ini kerana aspek itu amat penting terutama dengan kedudukan Sabah yang bersempadan dengan beberapa negara jiran.

Justeru katanya, aspek kawalan sempadan merupakan perkara penting yang perlu diberi keutamaan memandangkan kebanyakan ancaman keselamatan di negeri Sabah datangnya dari luar negara.

Katanya, langkah meletakkan pos-pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan-kawasan strategik di pendalaman Sabah merupakan langkah yang tepat bukan sahaja bagi mengekang kemasukan ancaman pada masa kini, tetapi juga sebagai langkah proaktif untuk mengekang ancaman luar terutamanya apabila Indonesia berhasrat untuk memindahkan ibu negara ke Kalimantan.

Menurutnya, usaha KDN melaksanakan inisiatif pengeluaran dokumen imigresen dan pendaftaran di pos kawalan Imigresen dengan pos kawalan Imigresen Pagalungan, Nabawan, sebagai projek rintis, memudahkan penduduk Pagalungan untuk mendapatkan perkhidmatan selain daripada Jabatan Imigresen Malaysia tapi juga daripada Jabatan Pendaftaran Negara.

“Dengan adanya inisiatif seperti ini, penduduk setempat dapat memperolehi Pas Menyeberang Sempadan dengan lebih mudah”, tegasnya.

Hajiji berkata, Sabah sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, mempunyai kawasan pesisir pantai yang panjang serta lebih daripada 40 buah pulau, amat terdedah kepada pelbagai ancaman keselamatan.

Beliau berkata, beberapa perkara yang sering timbul mengenai keselamatan negeri Sabah antaranya adalah berkaitan PTI, pencerobohan bot nelayan asing, isu kawalan sempadan antarabangsa dan isu kewarganegaraan atau orang tanpa dokumen.

“Saya amat berharap isu-isu ini dapat ditangani dengan sebaiknya oleh Kerajaan Persekutuan. Pihak Kerajaan Negeri akan memberi sepenuh kerjasama demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negeri Sabah kekal terpelihara.

“Kerajaan Negeri menyokong segala usaha KDN terutama dalam aspek keselamatan dan ketenteraman bagi negeri Sabah. Ini termasuklah segala usaha penambahbaikan infrastruktur, aset agensi keselamatan dan penguatkuasaan bagi memastikan tahap kebolehoperasian serta kesiapsiagaan pada tahap yang paling tinggi”, tegasnya.

Hajiji berkata, tanggungjawab menjaga keselamatan bukan hanya terletak di bahu Kerajaan Persekutuan sahaja, tetapi memerlukan kerjasama yang padu dari semua pihak di peringkat persekutuan dan negeri.

Justeru beliau menyeru rakyat Sabah bersama-sama berganding bahu bersama kerajaan melaporkan perkara-perkara yang menjadi ancaman dan menjejaskan keamanan dan kedaulatan negara.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, saya menyambut baik segala komitmen dan keprihatinan Hamzah dan KDN untuk menangani isu-isu keselamatan di negeri Sabah. Banyak yang telah dilaksanakan di negeri ini bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus kekal selamat dan tenteram”, tambahnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Australia perkukuh hubungan kerjasama dengan Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya