KUALA TERENGGANU: Sabah FC sekali lagi gagal mencatat kemenangan apabila tewas 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam ini.
Kekalahan itu merupakan yang kedua dimana sebelum turut tewas ditangan Selangor FC dengan keputusan 2-3 namun skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu masih kekal ditangga kedua dengan mengutip 36 mata.
Pada perlawanan itu, Sabah FC memulakan perlawanan dengan menguji gawang tuan rumah menerusi percubaan Dominic Tan dari dalam kotak penalti pada minit kelima.
Bagaimanapun rembatan padu pemain itu melepasi palang gol.
Seminit kemudian bermula dengan sepakan sudut yang diambil bekas pemain pelawat, Petrus Shetembi, Pape Diakite menggunakan ketinggiannya menanduk masuk gol pertama TFC untuk pasukannya mendahului 1-0.
Penyokong tuan rumah yang hadir hampir 12,000 peminat itu sekali lagi bersoral gembiran apabila TFC berjaya menambah gol kedua menerusi pemain pinjaman dari Selangor, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim pada minit ke-30 berpunca hantaran silang Faisal Halim.
Lima minit berselang, pemain pertahanan, Muhammad Shahrul Nizam Ros Hasni hampir meletakkan namanya sebagai penjaring, namun tandukannya hasil sepakan sudut Shetembi gagal menerjah jaring gol.
Pada minit ke-40, pemain tengah pelawat, Mohd Irfan Fazail terlepas peluang untuk merapatkan kedudukan selepas percubaannya dihalang penjaga gol, Suhaimi Husin.
Babak kedua bermula, percubaan Tchetche pada minit ke-54 sekali lagi digagalkan hasil hantaran Shetembi yang diselamatkan atas garisan pintu gol oleh Dominic Tan.
Sedar kerap diasak, Kim Swee memasukkan empat tenaga baharu iaitu Baddrol Bakhtiar, Farhan Roslan, Gary Steven Robbat dan Nazirul Naim Che Hashim, namun gagal menemui jaringan.
Sebaliknya, pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanan, Rizal Ghazali diperintahkan keluar padang oleh pengadil, Fitri Maskon sesudah dilayangkan kad kuning kedua kerana melakukan kekasaran ke atas pemain gantian, Hakimi Abdullah pada minit ke-76.