Lebih 50 peratus kes disiasat berkaitan tuntutan palsu, tertinggi di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 7 Second

SANDAKAN : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah merekodkan lebih 50 peratus kes yang disiasat adalah berkaitan tuntutan palsu dan tertinggi di Sabah setakat ini.

Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy berkata, kes adalah melibatkan kerja-kerja yang tidak dilaksanakan selain tidak mengikut piawaian yang ditetapkan namun pembayaran berkaitan projek telah dibuat pihak terbabit.

“Justeru, kita meminta Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) di setiap kawasan di seluruh negeri agar menjadi mata dan telinga membantu SPRM sekiranya terdapat aktiviti berunsur rasuah.

“Selain itu, turut memaklumkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan pembayaran awal bagi projek yang belum dilaksana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Forum Rasuah : Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul di sini baru-baru ini.

Karunanithy berkata, pihak berkaitan perlu memastikan semua peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan sampai ke akar umbi iaitu masyarakat.

Katanya, ia selaras dengan dasar Kerajaan negeri iaitu Sabah Maju Jaya (SMJ) agar dapat membina Sabah dengan tanpa rasuah dan mempunyai integriti yang tinggi dalam melaksanakan tugas.

Forum itu dihadiri hampir 100 peserta terdiri dari PBT, Pejabat Daerah, PPM sekitar Sandakan; Beluran; Kinabatangan; Telupid dan Tongod.

Terdahulu, objektif utama program itu adalah bagi membentuk kesedaran mengenai jenayah rasuah perolehan selaras dengan Halatuju Sektor Pencegahan SPRM.

Ini juga merupakan salah satu usaha SPRM Sabah dalam menyokong usaha kerajaan negeri membangunkan negeri Sabah sebagaimana halatuju pelan pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *