Pelan Pembangunan SMJ 1.0 beri impak positif

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Pelan pembangunan komprehensif menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan SMJ 1.0: 2021-2025) kini menampakkan impak positif. 

Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkata, peningkatan itu dapat dilihat menerusi jumlah pelaburan asing ke Sabah dan pelaksanaan program pembangunan yang mencerminkan keprihatinan kerajaan kepada rakyat.

“Melalui kepimpinan Kerajaan Negeri yang berkesan dengan pelan pembangunan komprehensif serta hubungan akrab dengan Kerajaan Persekutuan, saya yakin Sabah akan terus berada di landasan yang tepat mengecapi kejayaan dengan lebih pesat.

“Inisiatif pendigitalan menuju Kerajaan Pintar (Smart Government) oleh kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun bermula 2020 juga mampu memenuhi keperluan. Inovasi ICT melalui penyediaan dan penggunaan pelbagai platform berjaya memudahcara langkah-langkah kawalan dan pencegahan semasa menangani pandemik Covid-19.

“Ini dapat dilihat menerusi transaksi perniagaan secara meluas, penciptaan peluang pekerjaan baharu berteraskan teknologi digital, kelangsungan pengurusan pentadbiran kerajaan dan swasta dan kesinambungan pembelajaran di institusi pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Hari Jadi Rasmi Ke-69 dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Bintang serta Pingat Negeri Sabah, di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.

Tun Juhar berkata, semua itu terhasil melalui kemahiran dan kreativiti mencipta sesuatu yang baharu sehingga teknologi digital menjadi satu keperluan dalam kehidupan seharian manusia.

Katanya, menerusi itu, harapan rakyat ke atas penyampaian perkhidmatan cekap dan berkesan tentunya akan sentiasa meningkat.

Dalam pada itu, Tun Juhar berkata, aktiviti ekonomi dan sosial yang semakin rancak serta ketibaan pelancong semakin meningkat ketika ini merupakan indikator pemulihan dan pertumbuhan positif semua sektor yang terkesan akibat wabak Covid-19.

“Langkah-langkah pemulihan yang diambil oleh kerajaan negeri dan persekutuan memberi kesan positif kepada negeri ini.  Inisiatif tersebut turut didukung dengan pelbagai usaha dan kerjasama semua termasuk individu, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan dan syarikat berkepentingan kerajaan dalam memastikan semua sektor dipulihkan lebih cepat.

“Justeru, saya menyeru kepada semua lapisan masyarakat untuk terus bekerjasama dan menyemarakkan semangat perpaduan sebagai tunjang dalam memakmurkan negeri Sabah yang tercinta ini,” katanya.

Sementara itu, Tun Juhar berkata, walaupun negara kini memasuki fasa peralihan ke endemik dalam mengekang penularan Covid-19, masyarakat diingatkan sentiasa mengambil langkah kawalan dan pencegahan khususnya pematuhan ke atas nasihat yang dikeluarkan kerajaan dari semasa ke semasa.

“Kerajaan secara berterusan memperkasakan rakyat dengan pengetahuan pencegahan penularan Covid-19 dalam melindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada mendapat jangkitan,” katanya.

Dalam perutusannya, Tun Juhar turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh anggota perkhidmatan awam dan pasukan keselamatan, agensi penguatkuasa, sektor swasta dan semua pihak atas dedikasi dan sumbangan kepada kesejahteraan dan keamanan negeri ini serta semua petugas barisan hadapan yang terlibat dalam menangani pandemik Covid-19 di seluruh negeri.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *