KOTA KINABALU : Bajet 2023 yang bakal dibentangkan Kerajaan diharap dapat menitik berat kepada perolehan baharu dan segera menaik taraf keupayaan aset-aset ketenteraan.
Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Sabri Zali berkata, penambahan bajet pertahanan amat kritikal terutama dalam meningkatkan keupayaan aset-aset tempur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang semakin berusia dan berdepan isu keusangan.
Katanya, Markas Pemerintahan Armada Timur amat bersetuju dengan kenyataan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany yang mencadangkan pihak Kerajaan komited meningkatkan bajet pertahanan 2023 kepada 1.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Isu keusangan aset merupakan cabaran utama yang didepani oleh TLDM dalam usaha mengatur gerak aset-asetnya secara maksimum.
“Dengan perubahan lanskap ancaman maritim semasa dan campurtangan kuasa besar di Laut China Selatan, TLDM sangat memerlukan aset-aset berkeupayaan tempur. Buat masa ini, keupayaan tempur aset-aset TLDM pada tahap kritikal.
“Malah aset-aset di bawah Armada Timur hanya terdiri dari Flotilla Ronda yang tidak dilengkapi keupayaan tempur seperti sistem persenjataan, radar pengawasan serta penjejak dan peluru berpandu.
“Justeru, perolehan aset baharu seperti Littoral Combat Ship dan Littoral Mission Ship batch kedua amat kritikal bagi TLDM mengalas tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Sementara itu, Sabri berkata, Markas Pemerintahan Armada Timur berpendapat bahawa isu keusangan ini tidak akan berlaku jika Kerajaan menyediakan peruntukan pertahanan yang mencukupi pada setiap tahun.
Katanya, cadangan peruntukan sebanyak 1.5 peratus daripada KDNK negara khusus untuk pertahanan bukan sesuatu yang mustahil dilaksanakan sekiranya Kerajaan benar-benar serius terhadap isu keselamatan dan kedaulatan negara.
“Bajet pertahanan perlu diibaratkan seperti membeli polisi insuran kepada keselamatan negara. Keselamatan negara akan berdepan risiko yang tinggi sekiranya Kerajaan hanya membeli polisi yang minimum. Kesannya akan lebih merugikan Kerajaan bila negara berdepan krisis keselamatan,”katanya.
Beliau berkata, Markas Pemerintahan Armada Timur akan kekal fokus mendukung misi TLDM untuk mempertahankan kedaulatan dan melindungi kepentingan maritim negara.
“Walaupun aset-aset sedia ada bukan pada tahap yang terbaik, Armada Timur akan kekal komited dan bersedia sebilang masa untuk memikul tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sedaya mungkin.
“Janji TLDM dizahirkan melalui Eksesais KERISMAS 27/2022 yang sedang berlangsung di Laut China Selatan. Pada ketika ini sejumlah 23 aset-aset dari Armada Timur dan Barat berada di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu untuk menjalani latihan tahunan intra-TLDM ini.
“Eksesais tahunan ini akan menguji tahap kesiagaan aset-aset TLDM dan kecekapan warga kapal dalam melaksanakan setiap prosedur operasi maritim serta menilai sistem sokongan bahagian logistik TLDM,” katanya.