KOTA KINABALU : Hujan lebat sejak jam 2 petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang dilanda banjir kilat.
Antara lokasi yang terjejas Manggatal, Tebobon, Jalan Sulaman, Telipok, Jalan Rugading, Indah Permai manakala di Penampang beberapa jalan dinaiki air antaranya Jalan Panglima Banting; Jalan Maang dan Jalan Sugud.
Berdasarkan laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), hanya laluan Jalan Maang sahaja yang boleh dilalui semua kenderaan dan bacaan air Sungai Moyog yang direkodkan jam 5.19 petang tadi adalah 8.12 meter berada pada paras bahaya.
Difahamkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut akan dibuka di Penampang berikutan keadaan cuaca yang masih hujan selain persediaan bagi memindahkan mangsa yang terperangkap banjir.
Sementara itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas turut membantu menyelamat sembilan orang mangsa terperangkap banjir di Kampung Mansiang Manggatal.
Bomba dalam satu kenyataan berkata,sebanyak dua buah rumah terlibat dengan banjir dan semua mangsa dipindahkan ke kawasan selamat.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlakudi enam buah negeri termasuk Sabah.
Antara kawasan terlibat di Sabah adalah di Pedalaman (Sipitang; Tenom; Kuala Penyu; Beaufort dan Nabawan), Pantai Barat (Papar; Putatan; Penampang; Kota Kinabalu; Tuaran dan Kota Belud); Tawau (Lahad Datu); Sandakan (Telupid; Kinabatangan; Beluran dan Sandakan) dan Kudat.