HomeUtamaSabah Energy Corporation, Pembekal & Pengangkut Gas Asli Domestik Terbesar Sabah

Sabah Energy Corporation, Pembekal & Pengangkut Gas Asli Domestik Terbesar Sabah

Read Time:3 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah, Sabah Energy Corporation (SEC) kini menjadi pembekal dan pengangkut gas asli domestik terbesar di Sabah, sekaligus sebagai antara pemain utama industri minyak dan gas di Malaysia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dengan pemerolehan kontrak gas PETRONAS di Sabah, SEC telah menjadi pembekal dan pengangkut gas asli domestik terbesar di negeri ini, yang akan terlibat memindahkan lebih daripada 250MMscfd (Million Standard Cubic Feet Per Day) gas asli ke IPP sedia ada.

Menurutnya, dengan pangkalan pelanggan yang lebih besar dan kawalan infrastruktur, SEC bersedia untuk mengembangkan lagi perniagaan gasnya di Sabah, selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk melihat peningkatan penyertaan GLC negeri dalam industri minyak dan gas.

“SEC terlibat secara signifikan sebagai antara pemain utama industri minyak dan gas di Malaysia, adalah selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya untuk memajukan industri minyak dan gas di Sabah.

“Justeru, Kerajaan Negeri amat berbesar hati dengan pemeteraian pelbagai perjanjian gas dengan PETRONAS kerana ia menyokong pertumbuhan industri gas hiliran di negeri ini”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Bekalan Gas Asli dan Pertukaran Dokumen Perjanjian Jual Beli Aset dan Perniagaan Gas di antara PETRONAS dan Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan merangkap Menteri Kewangan II, Datuk Seri Masidi Manjun.

Katanya, Majlis Menandatangani Perjanjian Bekalan Gas Asli dan Pertukaran Dokumen Perjanjian Jual Beli Aset dan Perniagaan Gas menandakan satu lagi pencapaian penting bagi negeri Sabah selepas termeterainya Perjanjian Kerjasama Komersial atau Commercial Collaboration Agreement (CCA) antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS pada 7hb Disember 2021.

“Sesungguhnya, ini merupakan satu lagi bukti kejayaan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) dalam menjalin hubungan baik dengan Kerajaan Pusat dan PETRONAS, di dalam satu ekosistem yang saling melengkapi dan seterusnya mengecapi kemakmuran bersama.

”Bertitik tolak daripada pemeteraian Perjanjian Induk (Heads of Agreement – HOA) antara SEC dan PETRONAS untuk pembekalan gas asli berjumlah 120 MMscfd yang telah dicapai sebelum ini, Perjanjian Bekalan Gas Asli (Gas Supply Agreement – GSA) akan memberi peluang kepada Kerajaan Negeri Sabah melalui SEC untuk menerajui aktiviti pemasaran dan pengagihan gas asli bagi menarik pelaburan domestik dan antarabangsa.

“SEC akan memainkan peranan utama dalam meningkatkan penggunaan gas asli untuk kegunaan industri pembuatan dan tenaga melalui talian perpaipan gas asli yang akan diambil alih daripada PETRONAS bermula pada 1 Januari 2023”, jelasnya.

Beliau berkata, melalui usaha kolaboratif itu, SEC akan memiliki dan mengoperasikan infrastruktur gas asli hiliran utama di Negeri Sabah. Dengan pengambilalihan perniagaan gas asli yang dimiliki oleh PETRONAS pula, SEC akan membekalkan 86% bahan bakar bagi tujuan janakuasa di negeri ini.

Dengan ini, katanya Kerajaan Negeri melalui SEC akan dapat maju ke hadapan dalam meneroka potensi penuh rantaian industri gas asli negeri ini yang pastinya memberikan pulangan ekonomi yang baik kepada negeri Sabah,sekali gus akan membolehkan Sabah mendapatkan bukan sahaja perkongsian hasil yang lebih besar tetapi penyertaan dan penguasaan yang lebih besar dalam hal-hal minyak dan gas.

Hajiji turut berkata, sumber tenaga berasaskan gas asli adalah lebih bersih dan kompetitif berbanding sumber tradisional seperti diesel dan Gas Petroleum Cecair (LPG).

Justeru beliau berharap pemain industri di Negeri Sabah akan mendapat manfaat melalui harga tenaga yang lebih murah supaya dapat membantu mengurangkan kos menjalankan perniagaan di negeri ini. Melalui penggunaan gas asli juga, Kerajaan Negeri akan dapat mengurangkan kadar pelepasan karbon di udara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050.

“Adalah menjadi aspirasi saya untuk Sabah meletakkan secara sah tuntutannya dan melakar jalan yang memberi manfaat kepada rakyat serta generasi akan datang. Kami akan terus berusaha untuk pembangunan yang saksama. Melangkah ke hadapan, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada apa yang perlu dilakukan untuk mengenal pasti dan membangunkan lebih banyak infrastruktur untuk pelaburan masa depan, dalam usaha mewujudkan lebih banyak peluang dan pembangunan kepada rakyat Sabah. Ini akan dilakukan melalui kerjasama, dengan Kerajaan Persekutuan, PETRONAS dan pelabur bernilai tinggi”, katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Perdana Park masih ditutup atas faktor risiko keselamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular