HomePolitikPRU-15 : Hajiji tidak tanding kerusi Parlimen

PRU-15 : Hajiji tidak tanding kerusi Parlimen

Read Time:1 Minute, 10 Second

TUARAN : Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Meskipun ada permintaan agar beliau bertanding di kerusi Parlimen Tuaran namun beliau memaklumkan tidak berminat untuk menjadi calon pada pilihan raya kali ini.

“Saya tidak berminat,” itu jawapan ringkas Hajiji ketika ditanya media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tuaran di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, gabungan itu dijangka akan meletakkan calon di Parlimen Tuaran pada PRU-15.

“InsyaAllah kita akan bawa perkara ini untuk dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS malam ini dan kita akan sampaikan nanti dalam perbincangan kita dengan Barisan Nasional (BN).

“Secara ‘bisik-bisik’ sebelum ini memang ‘okey’ tapi kita kena secara rasmi nanti. Biarlah rasmi (bertanding) apabila sampai masanya,” katanya.

Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah sebelum ini antara yang disebut-sebut bakal menggalas cabaran GRS jika gabungan itu bertanding di kerusi Parlimen Tuaran.

Tuaran adalah kubu kuat Hajiji selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman yang disandangnya sejak 1990.

Pada PRU-15 ini, GRS yang merangkumi BERSATU, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) bekerjasama dengan BN dari segi agihan kerusi bagi mengelak pertembungan.

Bagaimanapun, setakat ini rundingan agihan kerusi di antara kedua pihak belum dimuktamadkan sepenuhnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Kontroversi Karikatur: Hormati Simbol Kedaulatan Negeri Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular