Pameran “LATerasi Kewangan” kini berada di Muzium Negeri Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 39 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Pameran “LATerasi Kewangan” oleh Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia kini menjelajah ke Muzium Negeri Sabah.

Pengarah Jabatan Hospitaliti dan Muzium Bank Negara Malaysia (BNM), Noreen Zulkepli berkata, pameran ini merupakan sebuah pameran yang memperingati “Buku Wang Saku”, usaha Bank Negara Malaysia untuk memupuk pelajar sekolah tentang kepentingan pengurusan kewangan.

Katanya, inisiatif ini bermula pada tahun 1999 dengan empat belas edisi yang dikeluarkan sehingga kini. Setiap siri menghimpunkan karikatur oleh Datuk Lat yang menarik dan bermaklumat berlatarkan kehidupan seharian rakyat Malaysia dan hubungan mereka dengan wang.

“la merupakan salah satu usaha Bank Negara Malaysia untuk memupuk celik kewangan dengan menyediakan asas bagi program pendidikan kewangan yang diperkenalkan kepada golongan muda khususnya kepada pelajar Malaysia di sekolah, selain menghargai karya seni kreatif Datuk Lat, pengunjung akan diingatkan dengan mesej-mesej penting dalam pengurusan kewangan berhemat yang mereka hadapi dalam aktiviti kewangan seharian,” katanya pada sidang media selepas mengiringi rombongan pengamal media melawat ke pameran tersebut.

Sementara itu, menurut Noreen, pameran “LATerasi Kewangan” ini sebenarnya bermula di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur pada tahun 2015.

Katanya, berikutan permintaan dan sokongan yang diterima daripada orang ramai, pameran ini telah menjelajah ke Alor Setar di Hari Muzium Antarabangsa (2016), dan seterusnya ke beberapa muzium negeri seperti Muzium Negeri Pulau Pinang (2016), dan Muzium Darul Ridzuan, Perak (2018). Pada tahun 2019, pameran ini mengorakkan langkah ke Terengganu.

“Sabah merupakan siri jelajah negeri ke-5 iaitu destinasi yang ditunggu-tunggu yang sepatutnya kita adakan pada tahun 2020 tetapi disebabkan pandemik Covid-19, kita anjakkan ke tahun ini,” katanya.

Beliau berharap selepas pengunjung melawat pameran itu akan bertambah meningkat kadar kesedaran dan pengetahuan bagaimana untuk merancang dan mengurus kewangan masing-masing dengan lebih baik.

Orang ramai dialu-alukan hadir ke pameran berkenaan yang diadakan bermula 12 Oktober sehingga 12 April 2023 dan waktu operasi dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *