Oleh TEAM SABAH MEDIA
KIMANIS : Kolaborasi dan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di negeri ini merupakan satu tanda solidariti pemimpin dalam memastikan kestabilan politik dan kemakmuran rakyat Sabah dapat dilaksanakan.
Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun terdapat perbezaan dalam politik namun keperluan rakyat di negeri ini perlu diambil kira dan diperbaiki sebaiknya.
“Kita telah bina hubungan baik dan kerjasama antara BN-GRS di Sabah dalam hadapi PRU-15, demi rakyat Sabah, kestabilan politik negeri ini mahupun kemakmuran rakyat Sabah perlu menjadi keutamaan.
“Saya juga memahami perasaan ahli-ahli akar umbi BN,UMNO dan GRS. Mungkin ianya dilihat sukar namun hubungan baik ini perlu dikekalkan untuk rakyat Sabah seterusnya memberi keberhasilan untuk kemenangan BN-GRS pada 19 November nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.
Hadir sama, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO; Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Dalam sidang medianya, ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi antara BN-GRS, Ahmad Zahid berkata, terdapat formula yang telah dipersetujui dan formula itu telah dipersetujui dari segi pembahagian kerusi.
“Ianya akan diumumkan oleh Pengerusi BN Sabah dan juga Pengerusi GRS Sabah nanti. Namun azam BN negeri bersama-sama GRS dalam kolaborasi untuk hadapi PRU15 ini adalah untuk menyumbang kerusi-kerusi Parlimen dengan jumlah yang agak besar dan selesa bagi membentuk Kerajaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid mahu Kerajaan Pusat memberikan peruntukkan yang sebelum ini disalurkan melalui Kementerian Persekutuan diberikan terus kepada Kerajaan Sabah.
Katanya, peruntukkan-peruntukkan itu perlu terus disalurkan melalui Kementerian, Jabatan mahupun Agensi Kerajaan Negeri agar pelaksanaan khususnya pembangunan kepada rakyat negeri ini dapat dilaksanakan sendiri.
“Tentunya ini merupakan pendekatan yang pada hemah saya boleh dilaksanakan apatah lagi Pindaan Perlembagaan telah dilakukan bagi meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai sebuah wilayah.
“Sudah pasti mekanisme ini akan dapat dilakukan bila Barisan Nasional (BN) dominan untuk membentuk Kerajaan di Putrajaya,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, peruntukkan-peruntukkan yang dibentangkan menerusi Bajet 2023 di Parlimen baru-baru ini juga memperlihatkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memberikan peruntukkan yang baik untuk Sabah.
“Tentunya peruntukkan initidak dapat dilaksanakan jika pihak lain jadi pentadbir Kerajaan Persekutuan.
“Oleh itu, bagi menentukan semua butiran yang disebut oleh Perdana Menteri sebagaimana yang dilontakan pada Bajet 2023 dapat dilaksanakan jika BN menjadi Kerajaan dominan di Putrajaya,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mencadangkan agar jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dimasukkan ke dalam manifesto BN Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.
“Saya yakin Perdana Menteri menerima cadangan ini kerana jawatan TPM tiada dalam perlembagaan. Sebab itu sekarang hanya menteri-menteri kanan.
“Tidak mustahil jawatan TPM akan ada bila BN menang dengan dominan maka jawatan ini boleh disandang oleh pemimpin dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung,” katanya.