KOTA KINABALU: Lebih 75 pembentang kertas kerja dan peserta dari dalam dan luar negara menyertai Persidangan Serantau Peradaban dan Etnik (PERSEP) II 2022 yang berlangsung secara dalam talian, di sini, baru-baru ini.
Persidangan buat edisi yang kedua itu merupakan anjuran bersama Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Brunei Darussalam.
Bertemakan “Merealisasi Kegemilangan Peradaban dan Etnik Pada Era Endemik”, penganjurannya turut dijayakan dengan usaha sama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sabah (JPNIN) dan Persatuan Penyelidik dan Khidmat Sosial Malaysia (AMRASS).
Dalam pada itu, Dekan PPIB UMS merangkap Penaung PERSEP II, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng berkata, matlamat utama persidangan tersebut adalah bagi menghimpunkan golongan akademik untuk membincangkan hasil penyelidikan berhubung dengan isu-isu kontemporari berkaitan masyarakat nusantara yang rencam dengan kepelbagaian etnik dan agama.
“Khususnya kepada masyarakat akademik, komuniti penyelidik dan golongan pelajar dalam bidang peradaban dan etnik serta pelbagai aspek yang sinonim dengan tema persidangan, PERSEP II 2022 amatlah relevan.
“Majlis ilmu ini memberi peluang kepada pembentang dan peserta menaakul dan bermuzakarah tentang aspek teoretikal dan empirikal intipati hasil penyelidikan peradaban dan etnik,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan-aluan pada program tersebut.
Majlis perasmiannya disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Kasim Mansor.
Menurut Kasim, kefahaman terhadap isu-isu kontemporari peradaban, sumbangan-sumbangan tamadun dan isu-isu semasa hubungan etnik akan berupaya meningkatkan keharmonian sosial.
“Sejauh manapun kemodenan memacu kehidupan kita, budaya etnik tetap menjadi sari masyarakat kita di nusantara.
“Sehubungan itu, syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur dan rakan kolaborasi kerana berjaya menganjurkan PERSEP kali kedua ini,” katanya.
Untuk rekod, penganjuran PERSEP yang pertama telah diadakan pada tahun 2019.