HomeUtamaSyarikat penerbangan beri harga tambang istimewa sempena PRU15?

Syarikat penerbangan beri harga tambang istimewa sempena PRU15?

Read Time:1 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah mendesak syarikat-syarikat penerbangan memberikan kadar tambang istimewa sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bakal berlangsung pada 19 November depan.

Presidennya, David Chan berkata, sewajarnya syarikat penerbangan melaksanakan tanggungjawab sosial kepada rakyat dan negara bagi merealisasikan proses demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Ini penting kepada syarikat swasta untuk membuktikan semangat patriotik menjelang PRU15 dan bukannya hanya ketika sambutan Hari Kemerdekaan, malah membantu rakyat khususnya golongan pelajar untuk pulang ke Sabah, Sarawak atau mana-mana destinasi bagi memudahkan mereka menunaikan tanggungjawab mengundi.

“Kita tidak meminta syarikat penerbangan menyediakan satu kadar sehingga merugikan syarikat tetapi biarkan pada kadar bersifat menang-menang.

“Saya percaya jika syarikat penerbangan ini prihatin dengan kewajipan menunaikan tanggungjawab mengundi, mereka boleh dan mampu membantu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan mengenai kesukaran orang ramai khususnya pelajar yang berada di Semenanjung untuk pulang mengundi berikutan tambang kapal terbang yang mahal.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan mendakwa, meskipun banyak universiti memberikan cuti pelepasan selama lima hari untuk pulang mengundi tetapi sebilangan besar pelajar tidak dapat pulang disebabkan tidak mampu membayar harga tambang penerbangan yang mahal.

David berkata, pihak swasta perlu membantu dalam menggalakkan golongan muda mengundi khususnya selepas pelaksanaan Undi18 yang memberi peluang kepada mereka memilih kerajaan yang baharu.

“Syarikat seperti Mas, AirAsia dan lain-lain jangan pula ambil kesempatan di atas permintaan tinggi dalam kalangan pengundi ini. Marilah kita sama-sama membantu membina negara melalui proses demokrasi lima tahun sekali ini,” tambahnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Malaysia: Rakyat Derita Kesihatan Mental  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya