KOTA KINABALU: Sabah FC berjaya melangkah ke suku akhir Piala Malaysia meskipun hanya mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang UiTM FC pada aksi kedua pusingan 16 pasukan di Stadium Likas malam ini.
Pada aksi pertama, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu berjaya mencatat kemenangan tipis 2-1 kepada UiTM FC dan keputusan seri aksi kedua itu membolehkan The Rhinos mara dengan agregat 3-2 sekali gus akan bertemu Kuching City FC pada perlawanan suku akhir.
Perlawanan yang dimulakan jam 9 malam akibat cuaca hujan lebat itu mengakibatkan keadaan padang turut berlumpur dan memberi cabaran kepada kedua-dua pasukan.
Babak pertama bermula, Sabah FC lebih banyak mengawal permainan dengan membuat asakan berterusan ke gawang pasukan pelawat.
Tuan rumah hampir mendahului kedudukan menerusi percubaan Nazirul Naim namun sepakan dari tepi gawang pasukan pelawat berjaya ditolak keluar penjaga gol Robson Rendy Rining pada minit ke-35.
Keputusan seri 0-0 kekal sehingga tamat babak pertama dimana pasukan pelawat dilihat lebih banyak bertahan.
Bersambung babak kedua, pemain pasukan pelawat Muhammad Faris Hafiz Azhar hampir membuka jaringan UiTM FC yang membuat percubaan terus ke gawang Sabah FC namun penjaga gol tuan rumah, Damien Lim telah bersedia lebih awal.
Keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti akhirnya membawa hasil buat Sabah FC apabila dihadiakan sepakan penalti selepas tangan pemain UiTM FC Muhammad Afzal Akbar terkena bola.
Sepakan itu berjaya disudahkan dengan mudah Farhan Roslan pada minit ke-66 membolehkan tuan rumah mendahulu 1-0 dengan agregat 3-1.
Bagaimanapun kegembiraan Sabah FC untuk terus kekal dengan keputusan itu tidak kesampaian apabila pemain UiTM FC Muhammad Farez Aiman Marzuki berjaya meledak gol pada minit akhir perlawanan menjadikan keputusan 1-1.
Keputusan seri 1-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan namun Sabah FC layak ke peringkat suku akhir dengan agregat 3-2. – SABAH MEDIA/ EAW