PKR umum calon di 10 kerusi Parlimen Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 19 Second

TUARAN — PKR mengumumkan calonnya bagi 10 kerusi Parlimen di Sabah atas tiket PH pada PRU15.

Calon tersebut termasuk ketua Cabang Tawau merangkap Pengerusi PH Sabah Christina Liew mempertahankan kerusi Parlimen Tawau dan Naib Presiden PKR Awang Husaini Shari mempertahankan kerusi Parlimen Putatan.

PKR juga mengemukakan calon baru iaitu Ketua Penerangan PKR Cabang Ranau, Apirin Jahalan Taufik Sham bagi kerusi Parlimen Ranau, yang pada PRU14 dimenangi Jonathan Yasin atas tiket PKR sebelum menyertai Bersatu.

Calon PKR lain ialah Pengerusi PKR Sabah Sangkar Rasam bagi kerusi Pensiangan; Ketua Cabang PKR Beaufort Dikin Musah (Beaufort), Ketua Cabang Kota Belud, Mustapha Sakmud (Sepanggar), Thonny Chee (Kudat), Madely Modily Bangali (Kota Belud), Arastam Pandorog (Semporna) dan Noraini Abd Ghapur (Kalabakan).

Calon-calon berkenaan menandatangani surat dan bon aku janji parti itu yang disaksikan presidennya, Anwar Ibrahim di Putatan, Sabah hari ini.

Ditemui pemberita selepas majlis itu, Anwar yang juga pengerusi PH berkata parti komponen dan rakan kerjasama PH telah menyelesaikan pembahagian di hampir kesemua 24 kerusi Parlimen di Sabah, kecuali kerusi Parlimen Kinabatangan yang masih dalam perbincangan.

“Lain (kerusi Parlimen) yang ada perbincangan kita akan putuskan (kemudian)…tiada akan ada masalah,” kata Anwar.

Hari ini, parti komponen PH iaitu Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) mengumumkan bertanding di lima kerusi Parlimen di Sabah, DAP di tujuh kerusi, manakala Muda yang mempunyai kerjasama dengan PH mengumumkan bertanding di Kota Marudu.

Semalam, Amanah mengumumkan bertanding di 54 kerusi Parlimen seluruh negara dan satu daripadanya ialah di Sipitang, Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *