66 mangsa banjir di Kunak dipindahkan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:53 Second

BERNAMA

KUNAK: Seramai 66 penduduk daripada 13 keluarga di Kampung Airport Tun Fuad di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air sejak awal pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan memaklumkan, kesemua mangsa banjir itu dipindahkan ke PPS Dewan Kampung Airport Tun Fuad di sini.

“Mangsa yang dipindahkan terdiri daripada 20 lelaki dewasa, 27 wanita, lapan kanak-kanak perempuan dan 11 kanak-kanak lelaki,” menurut kenyataan itu malam ini.

Kunak adalah sebuah daerah di kawasan pantai timur Sabah terletak kira-kira 470 kilometer ke arah Timur dari Kota Kinabalu.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak Mohammad Omarbatha ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan bencana banjir itu pada 4.17 pagi tadi.

“Pasukan Bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari kawasan banjir menggunakan bot orang kampung serta bot Majlis Keselamatan Negara (MKN), untuk dihantar ke pusat pemindahan sementara di Dewan Kampung Airport Tun Fuad,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa telah didaftarkan dan segala urusan berkaitan kebajikan mangsa kini di bawah kendalian Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *