HomeUtamaSapawi, Nazrey antara penerima ASIS 2022

Sapawi, Nazrey antara penerima ASIS 2022

Read Time:1 Minute, 48 Second

KOTA KINABALU : Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Ahmad dan bekas anggota kumpulan nasyid Raihan, Nazrey Johani diumumkan sebagai antara penerima Anugerah Seniman Islam Sabah (ASIS) 2022.

Anugerah yang diberikan itu adalah bagi menghargai sumbangan para ilmuan, seniman dan aktivis seni, sastera dan persuratan Islam di negeri ini.

Sapawi dan Nazrey masing-masing dianugerahkan Tokoh Pengiat Seni Islam Sabah dan Tokoh Pelita Seni Islam Sabah.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

Turut diberikan ASIS adalah Datuk Jamdin Buyong (Tokoh Seniman Islam Sabah); Datuk Moktar Rapok (Tokoh Seni Tilawah Al-Quran Sabah) dan Sukor Usin (Tokoh Seni Sastera Islam Sabah).Selain itu turut menerima ASIS ialah Datuk Jalidar Abdul Rahim (Tokoh Seni Nasyid Sabah-Tradisi); Dzulkiflee Awang Adi (Tokoh Seni Nasyid Sabah -Moden); Datuk Mursidi Nambi (Tokoh Seni Khat Sabah); Ag Ibrahm Ag Apong (Tokoh Seni Tradisi Islam Sabah) dan Abdul Baki Abu Bakar (Anugerah Khas Lantera Seni Islam Sabah).

Mohd Arifin ketika berucap berkata, ASIS 2022 merupakan satu pendekatan bagi menyemarak seni, sastera dan persuratan Islam agar terus relevan melalui pengiktirafan yang diberikan kepada pengiat seni dan budaya ini.

Katanya, pengiktirafan ini juga akan lebih memasyarakatkan seni, sastera dan pesuratan Islam di negeri ini.

“Penganjuran ASIS 2022 ini boleh dikatakan sebagai penanda aras kepada penggiat seni, sastera dan persuratan Islam di negeri ini.

“Ianya juga mengambarkan kegiatan dan aktiviti seni, sastera dan persuratan Islam ini berterusan berkembang, yang menyumbang kepada pembangunan nilai-nilai kemanusiaan dan akal budi masyarakat,” katanya.

Katanya, kesenian Islam berperanan mendidik masyarakat menjadi insan yang lebih baik dan halus akal budi kerana kesenian Islam adalah berteraskan kepada konsep tauhid yang berpaksi kepada agama.

“Justeru itu, seorang seniman yang menghasilkan karyanya perlu terlebih dahulu memahami dan menyelami hakikat ajaran Islam kerana ajaran itulah yang hendak disampaikan menerusi karya tersebut, samada bidang penulisan, seni bina, seni muzik dan lagu, seni pentas dan lainnya.

“ASIS 2022 diharapkan membawa kepada hasil karya yang lebih bermutu dan berkualiti yang boleh diterima baik bukan sahaja di peringkat lokal tetapi juga di peringkat nasional, serantau dan internasional (antarabangsa),” katanya. – SABAH MEDIA / EAW

RELATED ARTICLES
Utama

Penunggang warga emas maut tercampak 16 meter dari motosikal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular