BERNAMA
BANGKOK: Polis Thailand menahan seorang individu disyaki dalang sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar, dan sedang meningkatkan gerakan memburu suspek lain termasuk warga Malaysia.
Pesuruhjaya Biro Siasatan Pusat, Leftenan Jeneral Jirabhop Bhuridej, berkata ahli perniagaan berusia 33 tahun dari China yang diberkas di Bangkok, Ahad lalu itu disyaki adalah dalang sindiket ‘memikat’ pencari kerja, terutama warga Thailand untuk bekerja di bandar sempadan Myawaddy, Myanmar.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati sindiket itu menjanjikan pekerjaan bergaji tinggi di Mae Sot, wilayah Tak, namun sebaliknya memaksa mangsa menyeberangi sempadan ke Myawaddy untuk bekerja sebagai penipu.
“Polis Thailand memulakan siasatan, tahun lalu. Kami mengeluarkan waran tangkap ke atas 19 individu membabitkan 11 warga Thailand, China (tiga), Myanmar (tiga), dan masing-masing seorang warga Malaysia serta Filipina.
“Setakat ini, kami sudah menahan tujuh warga Thailand dan seorang warga China (disyaki dalang),” katanya.
Sementara itu, Penguasa Bahagian Antipemerdagangan Orang, Kolonel Man Menyam, berkata polis memulakan siasatan selepas tujuh warga Thailand yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan, diselamatkan di Mae Sot.
Beliau berkata, mangsa termasuk lima wanita, tertarik untuk bekerja di Myawaddy, namun dikatakan dihukum serta dipukul apabila gagal mencapai sasaran ditetapkan oleh penyelia mereka, warga Malaysia dan Filipina.
“Mangsa selamat pulang ke rumah selepas ahli keluarga membayar wang tebusan sebanyak 50,000 baht setiap seorang,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Bahagian Antipemerdagangan Orang.