HomeUtamaYSCT komited bantu jayakan Visi dan Misi SMJ

YSCT komited bantu jayakan Visi dan Misi SMJ

Read Time:2 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU: Selaras dengan gagasan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), Yayasan Sabah College of Technology (YSCT) komited membantu menjayakan visi dan misi Kerajaan Negeri itu khususnya Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam melaksanakan program Pembangunan Modal Insan.

Ketua Pegawai Eksekutif YSCT, Haji Samin Ongki.

Ketua Pegawai Eksekutif YSCT, Haji Samin Ongki berkata, aspek Pembangunan Modal Insan adalah satu bidang penting yang menjadi asas kejayaan SMJ, bermakna kalau tidak maju bidang pendidikan, gagasan SMJ itu dengan sendirinya kurang berjaya.

“Oleh yang demikian, bagaimana kolej kami memainkan peranan, pertama, kami mahu meningkatkan kelayakan akademik di kalangan pensyarah kami, di mana kami mahu menggalakkan pensyarah kami di peringkat sarjana dan juga Doktor Falsafah (PhD).

“Kedua, kami juga mahu perbanyakkan kerjasama dengan kolej kerajaan ataupun pihak agensi-agensi kerajaan, untuk menambah nilai graduan kami walaupun graduan kami sudah ada diploma atau sijil dari kolej kami tetapi kami juga mahu mereka mendapat sijil tambahan kemahiran di tempat lain supaya kebolehpasaran kerja mereka lebih baik dan mendapat gaji lebih lumayan.

“Manakala ketiga, kami mahu menambah nilai kualiti pelajar-pelajar kami seperti melahirkan graduan yang mahir dalam pelbagai bahasa bukan sahaja Melayu atau Bahasa Inggeris tetapi juga bahasa antarabangsa yang lain seperti Mandarin, Jepun, Korea, Jerman dan Perancis, dan ada juga cadangan untuk Bahasa Arab, kini ianya sedang dikaji,” katanya ketika ditemui kru Sabah Media baru-baru ini.

Menurut Haji Samin selain itu, mempelajari bidang pengucapan awam juga adalah sangat penting kepada pelajar YSCT bagi memantapkan keyakinan diri pelajar apabila tamat pengajian nanti, maka beliau mahu pelajar YSCT mahir dalam bidang itu.

“kami mahu pelajar kami cemerlang dalam pengucapan awam, jadi kami akan bekerjasama dengan pihak RTM, Jabatan Penerangan dan warga media untuk melatih anak-anak kami mahir dalam pengucapan awam.

“Manakala dari segi kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), kami bertekad untuk menaik taraf kemudahan ICT yang ada di kolej ini, sudah ada tetapi perlu dinaiktaraf, kami mahu mereka ada asas ICT bila keluar nanti,” jelasnya.

Sementara itu, Haji Samin turut memaklumkan salah satu kursus yang mendapat sambutan sangat baik di YSCT adalah Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

“Setiap tahun kami mengeluarkan tidak kurang 100 graduan dalam bidang ini. Kursus ini mendapat tajaan sepenuhnya daripada Yayasan Sabah.

“Disamping itu, kolej ini juga dipilih sebagai kolej yang dikenali sebagai kemudahan kemahiran untuk anak-anak Negeri Sabah terutama sekali golongan B40 ke bawah, kolej ini ada menawarkan kursus jangka pendek 3 hingga 6 bulan di Pusat Warisan Kraf (PWK).

“PWK hanya ada di kolej kami di Sabah yang menawarkan pelbagai sijil dalam pelbagai bidang jahitan dan setakat ini kita ada lebih 30 mesin jahit yang disediakan oleh kerajaan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri. Kursus lain yang ditawarkan seperti ukiran logam, menjahit dan membuat baju tradisi suku kaum yang ada di Sabah dan batik.

“Kursus-kursus ini mungkin boleh diperolehi di tempat lain tetapi dengan yuran yang tinggi tetapi di kolej ini semuanya percuma, bahkan selain daripada yuran mereka itu di bayar oleh kerajaan, pelajar-pelajar ini juga diberi makan percuma sepanjang latihan, keistimewaan pelajar-pelajar PWK ini disediakan makanan bermasak dari pagi hingga ke makan malam.

“Jadi saya menyeru kepada anak-anak Sabah ambil peluang ini kerana ini adalah kemudahan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya. – SABAH MEDIA/KRU

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai dijemput hadir ke pameran Pembentukan Malaysia Khamis depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular