Hari penamaan calon PRU15 bermula 9 pagi Sabtu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 51 Second

BERNAMA

Penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlangsung esok di seluruh negara melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Pahang (42) dan Perlis (15). 

Turut diadakan serentak adalah penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah.

Tempoh mengemukakan kertas penamaan calon bermula 9 pagi hingga 10 pagi di 222 pusat penamaan calon antaranya terdiri daripada pejabat daerah, dewan orang ramai dan dewan sekolah di seluruh negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula esok selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding dan akan berakhir pada 11.59 malam, 18 Nov.

Sebelum penggal Parlimen ke-14 dibubarkan pada 10 Okt lepas, komposisi kerusi Dewan Rakyat menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dengan 90 kerusi, Barisan Nasional (43), Bersatu (28), Gabungan Parti Sarawak (19), PAS (17), Warisan (tujuh), Parti Bangsa Malaysia (enam), Parti Pejuang Tanah Air (empat), Bebas (tiga) dan masing-masing satu kerusi bagi parti MUDA, Parti Sarawak Bersatu dan STAR.

Dua kerusi kosong selepas kematian penyandangnya iaitu Datuk Hasbullah Osman dari BN bagi kerusi Parlimen Gerik, Perak dan Datuk Liew Vui Keong dari Parti Warisan bagi kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Di peringkat DUN, hanya Pahang, Perak dan Perlis yang akan melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing serentak dengan peringkat Parlimen selepas ketiga-tiga negeri berkenaan membubarkan DUN masing-masing.

Negeri-negeri diterajui PH iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor serta yang diterajui PAS iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah tidak membubarkan DUN dan tidak ada pilihan raya peringkat DUN diadakan.

Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor sebelum ini telah mengadakan PRN masing-masing. PRN Sabah diadakan pada 26 Sept 2020, Melaka (20 Nov 2021), Sarawak (18 Dis 2021) dan Johor (12 Mac 2022).

PRK DUN Bugaya pula diadakan bersekali dengan PRU15 berikutan kematian penyandangnya Manis Muka Mohd Darah pada 17 Nov 2020 dan tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Pada 7 Okt lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan PRK Parlimen Batu Sapi, Gerik dan DUN Bugaya yang diisytiharkan pada November dan Disember 2020, berkuat kuasa 6 Okt lepas.

Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Okt akan digunakan untuk PRU15. Ia mengandungi seramai 21,173,638 pemilih yang terdiri daripada 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 tentera serta pasangan, 118,794 polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Pada PRU14, SPR menerima sebanyak 2,333 kertas pencalonan dalam tempoh sejam penamaan calon dengan 687 daripadanya adalah kertas pencalonan bagi 222 kerusi Parlimen dan 1,646 bagi 505 kerusi DUN.

Parti paling banyak menghantar borang pencalonan untuk kerusi Parlimen ketika itu ialah BN dengan 222, diikuti PKR (191) dan PAS (158). Parti-parti lain menghantar kurang daripada 30 pencalonan.

Pada PRU14, hanya Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi DUN Rantau, selepas calon PKR, Dr S. Streram tidak dapat mengemukakan kertas pencalonan kerana gagal membawa bersama pas calon untuk memasuki pusat penamaan calon.

Apa yang pasti, penamaan calon PRU15 esok pastinya ditunggu-tunggu berikutan kemunculan gabungan-gabungan politik baharu yang berkemungkinan besar menyebabkan berlaku pertembungan sekurang-kurangnya tiga hingga empat penjuru di kebanyakan kerusi Parlimen.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *