HomePolitikPRU15 : Sabah catat penjualan borang pencalonan Parlimen tertinggi

PRU15 : Sabah catat penjualan borang pencalonan Parlimen tertinggi

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU : Sabah mencatatkan penjualan borang pencalonan Parlimen tertinggi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu sebanyak 716 borang.

Jumlah itu adalah sebahagian daripada 4,326 borang pencalonan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) PRU15 yang dijual sehingga hari ini di seluruh negara.

Sabah mempertaruhkan sebanyak 25 buah kerusi Parlimen dimana beberapa kawasan dilihat menjadi antara kerusi panas seterusnya menjadi rebutan parti-parti yang bertanding.

Pilihan raya di Sabah kali ini akan menyaksikan pertembungan antara parti-parti besar antaranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN); Parti Warisan (Warisan) Pakatan Harapan (PH); Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan beberapa parti-parti lain.

Pertembungan parti-parti ini juga akan menyaksikan pertandingan lebih lima penjuru dibeberapa kawasan panas.

Sehingga kini, antara kawasan yang bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru atau lebih adalah Parlimen Kota Marudu; Kota Kinabalu; Keningau dan Pensiangan.

Sementara itu, berdasarkan statistik dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), daripada jumlah borang pencalonan Parlimen dan DUN yang dijual, 3,036 adalah borang penamaan calon Parlimen manakala 1,290 lagi bagi DUN.

Di peringkat Parlimen, selain Sabah, penjualan tertinggi turut direkodkan di Perak iaitu sebanyak 326, Selangor (266), Kelantan (262), Johor (253), Pulau Pinang (219), Kuala Lumpur/Putrajaya (163), Kedah (150), Pahang (144), Terengganu (118), Sarawak (100) dan Melaka (73).

Perlis yang hanya mempunyai tiga kawasan Parlimen menarik perhatian apabila mencatatkan jualan 52 borang pencalonan Parlimen, jauh lebih tinggi berbanding Negeri Sembilan yang mempunyai lapan kerusi Parlimen namun hanya 24 borang terjual setakat ini. 

Selain itu, ibu pejabat SPR, di sini, turut mencatatkan jualan borang calon Parlimen sebanyak 170.

Di peringkat DUN, jualan borang terbanyak adalah di Perak iaitu sebanyak 654, Pahang (422) dan Perlis 153 manakala jualan borang calon DUN di ibu pejabat SPR pula adalah sebanyak 61.

SPR menetapkan esok sebagai hari penamaan calon PRU15, 19 Nov ini sebagai tarikh pengundian manakala pengundian awal pada 15 Nov. 

PRU15 melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Pahang (42) dan Perlis (15). 

Turut diadakan serentak adalah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah. –SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular