10 kawasan panas PRU15 di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 45 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah mengenal pasti sepuluh kawasan panas (hotspot) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan akan mengawal ketat kawasan tersebut sepanjang berkempen bermula dari 5 November sehingga hari pengundian 19 November ini.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, pihak PDRM Sabah mengenal pasti sepuluh kawasan panas di Sabah dan akan memberikan kawalan keselamatan yang lebih ketat bagi memastikan proses PRU15 itu berjalan lancar tanpa ada insiden yang tidak diingini berlaku.

“Sepuluh kawasan panas tersebut adalah seperti berikut:

-P171 Sepanggar
-P172 Kota Kinabalu
-P173 Putatan
-P175 Papar
-P167 Kudat
-P184 Libaran
-P186 Sandakan
-P188 Lahad Datu
-P189 Semporna
-P190 Tawau

“Seramai 7,028 orang yang terdiri daripada pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis akan bertugas sepanjang PRU-15 dijalankan nanti.

“Selain daripada itu, PDRM juga akan mendapat bantuan petugas-petugas daripada pihak rela iaitu seramai lebih kurang 4,370 orang dan sukarelawan polis diraja malaysia (SPDRM) seramai 604 orang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Idris turut memaklumkan, sebanyak 86 kawasan yang telah dikenalpasti sebagai kawasan yang sukar dilalui menggunakan kenderaan biasa dan memerlukan bantuan perkhidmatan helikopter bagi tujuan penghantaran peti-peti undi ke kawasan tersebut.

“Ia melibatkan 11 kawasan parlimen iaitu Beluran, Pensiangan, Kudat, Kinabatangan, Sipitang, Tenom, Kota Marudu, Ranau, Penampang, Kota Belud Dan Semporna.

“Hari penamaan calon sehingga kini, sebanyak 26 buah tempat yang akan dijadikan sebagai pusat penamaan calon,” katanya.

Justeru itu, PDRM Sabah menasihatkan agar semua penyokong mana-mana parti politik yang akan hadir semasa penamaan calon PRU15 esok (5 Nov) agar tidak menimbulkan sebarang provokasi.

Dalam pada itu, Idris turut menekankan penggunaan dron adalah tidak dibenarkan dan dilarang sama sekali di pusat penamaan calon.

“Manakala penyokong-penyokong yang hadir juga dinasihatkan supaya tidak meletakkan kenderaan yang boleh menghalang lalulintas,” katanya.

Beliau turut menyeru semua calon, ejen serta penyokong agar sentiasa mematuhi dengan sepenuhnya sekatan-sekatan yang dinyatakan dalam akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, serta peraturan-peraturan yang berkaitan dengannya.

“Semua yang hadir di pusat penamaan calon juga hendaklah mematuhi arahan semasa pihak polis yang bertugas demi kelancaran PRU15,” tegasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *