BERNAMA
KUALA LUMPUR: Berbekalkan semangat dan keazaman yang kuat untuk berjaya, Sabah dengan bergaya menggondol sembilan pingat emas daripada keseluruhan 30 yang dipertandingkan pada hari pertama saingan olahraga temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022 semalam yang berlangsung selama empat hari.
Pada saingan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, slogan ‘Sabah Boleh’ menjadi pendorong kejayaan Negeri di Bawah Bayu itu menuai lima emas menerusi acara padang dan empat dalam acara trek, melepasi sasaran tujuh emas yang ditetapkan pada hari pertama, selain memecahkan lima rekod kejohanan.
Sembilan emas Sabah itu diperoleh menerusi acara Merejam Lembing Lelaki F13, Merejam Lembing Lelaki F36, Merejam Lembing Lelaki F37, Merejam Lembing Lelaki F54, Merejam Lembing Lelaki F57, 100 meter (m) lelaki T37, 100m Lelaki T44, 100m Lelaki T47 dan Lompat Jauh Wanita F20.
Lima rekod baharu kejohanan masing-masing dicipta Ahmad Ajin Bagudan dalam acara Merejam Lembing Lelaki F13, Heronlee Wong (Merejam Lembing Lelaki F37), Muhammad Khairi Military Lorin (Merejam Lembing Lelaki F54), Eddy Bernard (100m Lelaki T44) dan Mukhriz Ameer Izzudin Abdul Rauf bagi 100m Lelaki T47.
Pengurus skuad para olahraga Sabah Anne Liuh menyifatkan kejayaan itu sebagai kebangkitan Sabah susulan prestasi ditampilkan barisan atlet baharu yang turut berjaya mencipta kejutan meraih perak dan gangsa.
“(Kebangkitan Sabah) mungkin salah satunya (kerana) kami ramai atlet baharu yang bersemangat dan kami (kontinjen) saling menyokong antara satu sama lain… mungkin daripada semangat diri sendiri (atlet) kerana kejayaan ini bergantung kepada diri sendiri,” katanya kepada Bernama di sini semalam.
Anne berkata skuad para olahraga Sabah meletakkan sasaran lebih rendah pada temasya kali ini iaitu 17 pingat emas berbanding 19 emas yang diraih pada Para Sukma Perak 2018 berikutan terdapat beberapa atlet tidak dapat bertanding dan tidak dibenarkan bertanding kerana pernah mewakili negara pada Sukan Paralimpik selain acara yang tidak dipertandingkan.
“Semua atlet tersebut adalah prospek emas bagi Sabah. Cuma kami menantikan keajaiban dan berharap dapat mencapai lebih daripada sasaran,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Ajin yang memperbaharui rekod kejohanan miliknya dengan catatan 46.90m, mengatasi rekod lama 46.71m, mendedikasikan kejayaan itu kepada isteri Rozzela Kamisin dan putera sulungnya Wildan Rizky yang baru berusia seminggu.
“Sasaran saya sekarang mahu pergi ke Sukan Para ASEAN 2023 sebab dulu (edisi 2020) saya sudah layak tetapi disebabkan COVID-19, niat saya tertangguh. Ada rasa agak kecewa sekejap tetapi jurulatih bagi semangat untuk saya teruskan usaha sampai sekarang,” kata atlet berusia 27 tahun itu yang sudah bersedia untuk mewakili Malaysia.
Sukan Para ASEAN 2020 yang sepatutnya berlangsung di Filipina dibatalkan susulan pandemik COVID-19.
Sementara itu, hari pertama olahraga turut menyaksikan kehebatan Sarawak yang berjaya merangkul keseluruhan enam emas, Perak (empat) manakala Kedah dan Johor masing-masing membawa pulang tiga emas. – BERNAMA