KOTA KINABALU: Yayasan Sabah College of Technology (YSCT) atau Kolej Teknologi Yayasan Sabah mampu melahirkan graduan berdaya saing selaras dengan kemajuan masa kini.
Ketua Pegawai Eksekutif YSCT Haji Samin Ongki berkata, inilah bukti komitmen Kerajaan Negeri dan Yayasan Sabah untuk membangunkan pendidikan dalam kalangan anak Sabah.
“Sejak dari tahun 1990, kolej ini telah melahirkan lebih daripada 7,000 graduan dalam pelbagai bidang di peringkat diploma dan sijil.
“Alhamdulillah, setakat ini walaupun kolej ini mendapat saingan dari pelbagai kolej swasta tapi kita masih mampu bersaing dan berdiri di Ibu Negeri Sabah ini atau di Bandaraya Kota Kinabalu, ini disebabkan sudah tentu jenama Yayasan Sabah sebagai jenama yang dikenali di Malaysia,” katanya ketika ditemui kru Sabah Media di bangunan YSCT, Sembulan baru – baru ini.
Menurut Haji Samin, YSCT mendapat sokongan padu daripada Kerajaan Negeri Sabah dalam pelbagai sudut.
“Justeru itu, kolej ini saya boleh katakan sebagai ‘Anak Emas’ Yayasan Sabah dan Kerajaan Negeri, itulah kita menyeru kepada anak-anak Sabah yang bersekolah di luar sana supaya memilih YSCT ini sebagai tempat untuk mereka mendapatkan ilmu dan juga kemahiran.
“Kita akui mungkin mereka akan melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi tapi biarlah kecemerlangan itu bermula dari kolej ini,” katanya.
Antara kelebihan yang ada pada YSCT Samin turut menjelaskan iaitu pada setiap tahun apabila Yayasan Sabah menawarkan biasiswa, pinjaman, dermasiswa, walaupun tarikh tutupnya sudah berlaku tetapi untuk pelajar yang belajar di kolej ini masih lagi dibuka.
“Kolej kami 90 peratus mendapat tajaan Yayasan Sabah, Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, dan juga Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disamping beberapa agensi lain yang menaja pada skala kecil.
“Disamping itu, kolej kami juga adalah sebuah kolej mempunyai pengalaman termasuk pensyarah-pensyarah berpengalaman, selain yuran dikenakan tidak membebankan pelajar malah bagi pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan kita memperkenalkan pembayaran yuran secara ansuran,” jelasnya.
Selain itu, Haji Samin berkata, kolej ini juga mengambil pendekatan untuk menangani pelajar miskin dengan mencari dana zakat, baitulmal dan juga pihak-pihak lain yang sudi membantu, kita menerima dan kita akan berikan mereka (pelajar) bantuan kewangan dan saraan supaya mereka dapat meneruskan pengajian.
Program-program yang ditawarkan di YSCT iaitu Program Sijil Kemahiran Malaysia yang ditawarkan ialah Pengurusan Pejabat, Teknologi Automotif, Binaan Bangunan, Seni Kulinari, Pembuatan Pastri, Teknologi Kimpalan, Teknologi Elektrik serta Penyejukbekuan dan Penyaman Udara.
Selain itu, Program Diploma yang ditawarkan termasuk Teknologi Binaan Bangunan, Teknologi Automotif, Teknologi Elektrik, Pengurusan Perniagaan, Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Pengurusan Teknologi (kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Perakaunan (kerjasama dengan UTM), Pengurusan Harta Tanah (kerjasama dengan UTM), Sains Komputer (kerjasama dengan UTM), Kewangan Syariah (kerjasama dengan KUIM) dan Pengajian Islam dengan Pengurusan Sumber Manusia (kerjasama dengan KUIM).
YSCT juga ada menawarkan program Asasi Sains hasil daripada kerjasama di antara Kumpulan Yayasan Sabah bersama dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP). – SABAH MEDIA/KRU