Polis gerakkan 31,183 petugas, unit dron seluruh negara

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 3 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggerakkan 31,183 petugas serta aset dron di seluruh negara bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), esok.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata ia melibatkan tugas pemantauan oleh petugas beruniform dan tidak beruniform serta Unit Dron PDRM.

Beliau yang juga Pengarah Operasi PDRM bagi PRU15 berkata PDRM siap siaga bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjaga sepanjang proses penamaan calon PRU15 berlangsung.

“PDRM menyeru semua pihak yang terlibat agar memberi kerjasama dalam mematuhi undang-undang dan mengelak daripada melakukan sebarang provokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, di PULAU PINANG, jurucakap PDRM PRU15 Pulau Pinang memaklumkan lebih 2,000 pegawai dan anggota polis akan bertugas di 13 pusat penamaan calon serta kawasan sekitarnya bagi memastikan proses berkenaan berjalan lancar esok.

“Pihak polis turut menutup beberapa jalan utama dan membuka lencongan haluan di 13 pusat penamaan calon itu bagi memastikan kelancaran perjalanan proses tersebut dan orang ramai diminta mematuhi arahan pihak polis yang bertugas bagi memastikan kelancaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jalan-jalan yang terlibat itu ditutup bermula pukul 6 pagi sehingga 12 tengah hari atau sehingga proses penamaan calon selesai, katanya. – BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *