PRU15 : Proses penamaan calon di Tenom bertukar kecoh

Read Time:43 Second

TENOM : Suasana proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Tenom bertukar kecoh berikutan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM).

Difahamkan kekecohan berlaku selepas borang pencalonan calon PKDM Datuk Peter Anthony ditolak apabila menerima bantahan daripada calon yang bertanding bagi kerusi berkenaan.

Kekecohan itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi apabila sekumpulan penyokong PKDM memasuki Pusat Penamaan Calon di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom Tenom di sini.

Bagaimanapun, anggota keselamatan segera mengawal keadaan dan terpaksa menggunakan gas pemedih mata bagi menyekat daripada penyokong PKDM memasuki kawasan penamaan calon.

Sehingga kini, belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai calon-calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen Tenom.

Menurut sumber, selain Peter, tiga lagi parti lain turut bertanding dikerusi berkenaan antaranya Barisan Nasional (BN) yang diwakili Jamawi Jaafar; Pakatan Harapan diwakili Noorita Sual dan Parti Warisan Ukim Buandi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.