KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Parlimen Kota Kinabalu Yee Tsai Yiew berazam mahu mewujudkan ‘Kota Kinabalu Baharu’ sekiranya diberi mandat pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, hasrat bagi mewujudkan ‘Kota Kinabalu Baharu’ itu akan lebih mantap, maju, selamat dan stabil menerusi beberapa mekanisme yang lebih sempurna.
“Pada pilihan raya ini, menerusi manifesto saya mahu membina Kota Kinabalu Baharu dan saya mohon kepercayaan dan keyakinan anda untuk saya laksanakan mekanisme yang telah saya rancang.
“Antaranya ialah menubuhkan Landasan Transit Aliran Ringan (LRT) Kota Kinabalu dimana ini akan menjadi medium untuk menghubungkan dan mengintegrasikan pusat bandar Kota Kinabalu dengan kawasan sekitarnya.
“Ini juga akan dapat melancarkan lagi trafik jalan raya dan meminimumkan masa perjalanan orang ramai. Ia juga akan dapat memakmurkan ekosistem perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program tinjauan mesra ke Tamu Jalan Gaya di sini hari ini.
Tsai Yiew juga berazam mahu mempertingkatkan lagi Rancangan Pengairan dan Saliran di Kota Kinabalu dengan lebih komprehensif bagi menyelesaikan masalah air yang lemah dan menjadi halangan buat penduduk.
“Kita juga perlu mewujudkan kerjasama dengan pakar-pakar bahagian pengairan dan saliran daripada negara jiran untuk mengkaji amalan pengurusan terbaik bagi memperbetulkan isu banjir semasa di Kota Kinabalu,” katanya.
Calon GRS berusia 32 tahun ini juga mahu mewujudkan Sistem Sokongan dan Kaunseling Keusahawanan Belia Kota Kinabalu.
Katanya, sebagai salah seorang belia, beliau amat memahami kebimbangan graduan dalam isu pengangguran siswazah.
“Oleh itu, sistem sokongan dan kaunseling ini akan disediakan untuk menawarkan bimbingan praktikal untuk belia kita,” katanya.
Selain tinjauan mesra di Tamu Jalan Gaya, Tsai Yiew turut mengadakan program sama di Pasar Pagi Foh Sang dan Pasar Lido. – SABAH MEDIA/EAW