HomeUtamaPRU15: Lima teras Akujanji Hebatkan Beaufort - Siti Aminah

PRU15: Lima teras Akujanji Hebatkan Beaufort – Siti Aminah

Read Time:3 Minute, 1 Second

BEAUFORT: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching merangka misi khas untuk membawa perubahan di daerah ini jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dengan Akujanji Hebatkan Beaufort, Siti Aminah menggariskan lima teras berkaitan infrastruktur dan kemudahan awam, pendidikan dan modal insan, ekonomi dan pelancongan, sosial dan kebajikan serta belia dan sukan sebagai tumpuan di Parlimen Beaufort yang merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu dan Klias.

Dalam teras infrastruktur dan kemudahan awam tumpuan utamanya sudah tentu berkaitan isu kemudahan jalan raya dan bekalan air yang selama ini menjadi rungutan penduduk kawasan berkenaan berikutan keadaannya yang kurang memuaskan.

Beliau berkata, aspek capaian liputan rangkaian telekomunikasi dan internet yang juga kurang memuaskan turut diberi perhatian bagi memastikan penduduk di kawasan Parlimen Beaufort tidak ketinggalan memanfaatkan kelebihan teknologi digital.

“Kita akan memperhebatkan lagi infrastruktur jalan raya dan bekalan air bersih dengan pemantauan bersama pemimpin komuniti di daerah Beaufort dan Kuala Penyu.

“Capaian elektrik, ‘line’ dan internet juga akan ditingkatkan lagi. Kita juga merancang untuk membina lebih banyak kemudahan dan menaik taraf dewan serbaguna serta balai raya dan dijadikan One Stop Centre yang berkesan kepada masyarakat,” katanya selepas mengadakan perjumpaan di pusat daerah mengundi Klias baru di sini semalam.

Katanya, melalui teras membangunkan pendidikan dan modal insan, usaha akan dilakukan bagi memperhebatkan jaringan kerjasama kumpulan sasar iaitu pelajar, sekolah, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta komuniti setempat secara bersama.

Beliau berkata, kerjasama bersama Pejabat Pendidikan Daerah Beaufort dan Kuala Penyu serta pihak swasta juga akan diwujudkan agar tiada yang ketinggalan untuk menerima pendidikan rendah, menengah dan tinggi di Parlimen Beaufort.

“Usaha juga akan dibuat dalam mengembangkan seni dan kebudayaan pelbagai suku dan bangsa di Parlimen Beaufort, selain meningkatkan bantuan peralatan melalui sekolah kepada pelajar-pelajar,” katanya.

Sementara itu, Siti Aminah berkata usaha memperhebatkan ekonomi dan pelancongan di Parlimen Beaufort akan dilaksanakan menerusi beberapa inisiatif berpotensi termasuk mewujudkan kawasan industri bagi Parlimen ini.

Pada masa yang sama, katanya tindakan juga akan diambil bagi memperluaskan latihan keusahawanan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan sebagai pemangkin ekonomi di Parlimen Beaufort.

“Kita juga akan memperkasakan PKS wanita dengan mewujudkan kawasan ekonomi baharu, selain memperjuangkan infra yang lebih baik di kawasan tamu-tamu dan mewujudkan pasar-pasar malam di Parlimen Beaufort.

“Pada masa yang sama, kita juga akan terus membangunkan sektor pelancongan dan mempelbagaikan lagi tarikan tempat-tempat pelancongan yang ada di daerah Beaufort dan Kuala Penyu ini,” katanya.

Bagi teras sosial dan kebajikan masyarakat, Siti Aminah menggariskan usaha memperhebatkan lagi Bantuan Kebajikan Warga Emas, Orang Sakit dan Orang Kurang Upaya (OKU) selari dengan Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Katanya, beliau juga akan berusaha menambah bantuan pembinaan rumah rakyat di kawasan Parlimen Beaufort, selain meningkatkan jumlah pembaikan rumah rakyat secara ‘smart patnership’ di antara kerajaan dan swasta.

“Kita juga akan memperkasakan pasukan pengurusan bantuan bencana, bantuan dan sokongan kepada institusi agama serta menuntut untuk lebih banyak pakar perubatan ditempatkan di Hospital Beaufort dan Hospital Kuala Penyu.

“Usaha juga akan dibuat bagi menambah baik kemudahan akses kepada golongan OKU di sekitar kawasan Parlimen Beaufort,” katanya.

Melalui teras kelima, berkaitan usaha membangunkan belia dan infrastruktur sukan, Siti Aminah berkata lebih ramai pemimpin dalam kalangan belia akan dilantik sebagai pelapis kepemimpinan di Parlimen Beaufort.

Pada masa sama, katanya usaha untuk melahirkan lebih ramai usahawan belia di kawasan Parlimen Beaufort juga akan terus dilaksanakan.

“Usaha juga akan diambil bagi memperbanyakkan lagi fasiliti untuk belia seperti membina dan menaik taraf gelanggang pelbagai guna di kampung-kampung.

“Kita juga merancang untuk menaik taraf Kompleks Sukan Daerah Kuala Penyu dan Beaufort secara berfasa, selain meningkatkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) belia yang ada di Parlimen Beaufort,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular