PRU15: Anggota, pegawai polis keluar mengundi bagi DUN Bugaya dan Parlimen Semporna

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 17 Second

SEMPORNA: Seramai 400 anggota dan pegawai polis pelbagai cawangan menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih bagi kerusi DUN Bugaya dan Parlimen Semporna di pusat pengundian awal Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

Pusat itu yang dibuka seawal jam 7.30 pagi bagi membolehkan kelancaran proses pengundian awal oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagaimanapun hanya mula membenarkan anggota dan pegawai membuang undi pada jam 8 pagi mengikut masa ditetapkan.

Ketua Polis Daerah, Supt. Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, tidak ada arahan khusus diberikan kepada anggota dan pegawai yang menjalankan tanggungjawab membuang undi pada hari ini.

“Kita cuma beri arahan pakai pakaian seragam dengan kemas dan jangan lupa bawa kad pengenalan,” katanya di Dewan Serbaguna IPD Semporna ketika meninjau anggota dan pegawainya membuang undi.

Anggota Konstabel Muhammad Asyraf Rahman, 25, dari Melaka yang bertugas di bahagian rondaan cawangan Jabatan Pencegahan Jenayah Komersial memberitahu teruja dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih buat julung kalinya.

“Ini adalah pengalaman pertama saya mengundi dan sememangnya pengalaman yang terbaik kerana bagi saya mengundi ini bukan perkara main-main tetapi lebih kepada tanggungjawab untuk memastikan negara terus berdaulat,” katanya.

Bagi Koperal Rosnah Lapaleka, 45, yang berasal dari Tawau pula berharap beliau telah melakukan pilihan tepat dalam memilih pemimpin yang akan menerajui Bugaya dan Parlimen Semporna.

Anggota dari cawangan Bahagaian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Semporna itu turut berharap melalui Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) negara secara keseluruhannya akan kekal selamat.

“Saya juga berharap kerajaan dan pemimpin akan terus memperjuang golongan wanita dengan menambah lagi keanggotaan dalam badan beruniform dalam kalangan wanita,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *