Undi calon GRS, Lau mampu cetus perubahan positif di Sandakan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 2 Second

SANDAKAN: Calon GRS P186 Sandakan Lau Chi Keong @ Thomas Lau sekali lagi merayu kepada pengundi Sandakan untuk bersama beliau membawa perubahan positif demi penambahbaikan Sandakan.

Lau menyeru warga Sandakan supaya mengetepikan emosi mereka semasa membuang undi dan memilih dengan sebaiknya kerana masa depan generasi muda dan Sandakan berada di tangan mereka.

“Berikan mandat kepada saya untuk berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Sandakan dan saya yakin dengan pengalaman saya dalam perkhidmatan awam dan perniagaan, saya dapat menepati janji kepada penduduk Sandakan,” kata Lau dalam satu sesi temubual khas di bilik operasi kempen beliau pada Rabu.

Lau percaya beliau mampu mencetus perubahan positif demi kebaikan Sandakan khususnya generasi muda jika beliau memenangi pilihan raya ini.

Saya mempunyai perancangan dan antaranya memulihkan ekonomi Sandakan , meningkatkan pelaburan, menyediakan lebih banyak kemudahan pengajian tinggi, kemudahan perubatan, menambahbaik kemudahan asas, perumahan, mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk perniagaan, peluang pekerjaan dan membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

“Usia tidak menjadi halangan kepada saya untuk melaksanakan tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat sekiranya dipilih kelak. Saya akan menunaikan janji pilihan raya saya kepada penduduk Sandakan,” tambah Lau.

Lau mengakhiri sesi temubual dengan rendah diri membuat satu lagi rayuan kepada penduduk Sandakan untuk mengundi beliau dan GRS pada 19 Nov ini untuk masa depan Sandakan yang lebih baik.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *