HomeUtamaKerajaan GRS-BN beri keutamaan peluang kepada anak muda

Kerajaan GRS-BN beri keutamaan peluang kepada anak muda

Read Time:2 Minute, 21 Second

KENINGAU: Kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) memberi keutamaan, peluang dan ruang yang besar kepada anak muda di negeri ini, tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan kerajaan negeri adalah agenda besar untuk membangunkan negeri ini, termasuk anak muda.

“Menerusi agenda SMJ, Kerajaan memberi keutamaan dan ruang besar kepada anak muda kerana mereka adalah pemimpin yang akan mewarisi negeri ini. Bukan hanya anak muda, malah golongan wanita juga diberi keutamaan.

“Kerajaan negeri juga menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada anak muda dan rakyat negeri ini. Pelbagai program dan peruntukan berkaitan anak muda disediakan dalam SMJ. Inilah perjuangan kita untuk membangunkan Sabah dan memberi kesejahteraan kepada rakyat secara keseluruhannya.

“Sebab itu dalam kerajaan hari ini, kami akan terus berusaha untuk membawa Sabah lebih maju dan progresif serta bersatu padu demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya. Inilah harapan saya sebagai ketua kerajaan,” katanya pada majlis Ceramah Perdana di Apin-Apin, Keningau, di sini pada Khamis.

Pada majlis itu, Hajiji berkata perjuangan calon Parlimen Keningau yang belum selesai untuk membawa suara Sabah dan rakyat di kawasan ini ke peringkat Persekutuan perlu diteruskan dengan mengundinya pada 19 November ini.

Katanya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Timbalan Ketua Menteri adalah calon yang tepat untuk terus membawa suara negeri Sabah ke peringkat Persekutuan.

“Dr Jeffrey juga adalah calon yang berpengalaman terutama dalam perjuangannya untuk menuntut hak-hak Sabah. Saya dan kita semua di Sabah memerlukan pemimpin seperti beliau (Dr Jeffrey).

“Justeru, saya berharap kepada anak-anak muda dan rakyat Sabah di Parlimen Keningau, berilah sokongan penuh kepada calon nombor 3 ini (Dr Jeffrey). Saya percaya jika rakyat dan anak muda di kawasan ini terus memberi sokongan kepada calon GRS-BN, kita bukan saja dapat majoriti yang lebih besar kali ini, malah ada suara membawa hak-hak Sabah di Parlimen.

“Jika tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan ini iaitu Liawan, Bingkor dan Tambunan kita pegang, saya hairan jika kita tidak berikan kemenangan cemerlang kepada calon,” katanya.

Hajiji berkata kemenangan Presiden Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (STAR) itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini amat penting bukan saja untuk membawa perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di peringkat Persekutuan tetapi juga pembangunan dan kemajuan untuk rakyat Sabah.

Sehubungan itu beliau berharap rakyat di Keningau tidak terpengaruh dengan dakyah dan fitnah daripada pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Warisan hanya pandai menjaja fitnah malah Shafie (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) juga hanya pandai bercakap, tapi cakap saja tidak cukup jika kita tiada dasar yang baik untuk membangunkan Sabah dan rakyatnya,” katanya sambil meminta pengundi di Keningau fikirkan masa depan dan nobatkan Dr Jeffrey sebagai Ahli Parlimen Keningau sekali lagi.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden STAR, Datuk Robert Tawik dan Naib Presiden STAR, Datuk Annuar Datuk Ayub.

RELATED ARTICLES
Utama

FCDO  jamin teliti permintaan Sabah tarik semula larangan perjalanan ke Pantai...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular