KOTA KINABALU: Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) menggesa ahli politik supaya lebih berhati-hati dan bertimbang rasa ketika menyampaikan ucapan semasa kempen pilihan raya.
Presidennya, Tan Sri T.C Goh berkata ini penting, supaya tidak mengguris perasaan mana-mana masyarakat tertentu.
“Kami sedar bahawa kempen yang sedang berlangsung untuk pilihan raya umum ke-15 adalah sangat sengit, dengan banyak ceramah politik diadakan. Rakyat juga sedang mendengar ucapan yang disampaikan oleh ahli politik. Oleh itu, ahli politik ini harus berhati-hati dengan kenyataan mereka, supaya tidak menyakiti mana-mana masyarakat tertentu, termasuk masyarakat Cina,” katanya.
Goh yang juga Presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) menjawab soalan media berhubung kenyataan tidak sensitif Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal semasa ceramahnya di Putatan pada Isnin di mana, beliau berkata “satu ekor Cina pun tiada jadi menteri”.
Goh berkata, masyarakat Cina berpendapat kata-kata itu tidak sesuai dan menghina, kerana istilah ‘satu ekor’ adalah istilah yang biasa digunakan pada haiwan.
Bagaimanapun, dia gembira kerana Shafie cepat mengakui kesilapannya, selain meminta maaf kepada masyarakat Cina.
Goh turut menyeru parti politik dan ahli politik di negara ini supaya sentiasa bersikap sederhana, rasional, hormat-menghormati dan prihatin terhadap perasaan pelbagai masyarakat di Malaysia yang berbilang kaum.