PUTATAN: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putatan Datuk Shahelmey Yahya hadir untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan, di sini.
Shahelmey ditemani isteri Datin Dg Siti Noor Hayyat yang tiba di pusat mengundi pada jam 8:30 pagi tadi dan telah selesai membuang undi di saluran 3.
Shahelmey ketika ditemui Sabah Media menyeru kepada pengundi supaya datang awal untuk mengundi kerana ramalan keadaan cuacan yang tidak menentu dan hujan di sebelah petang.
Sementara, tinjauan di pusat pengundian itu berjalan dan kelihatan pengundi-pengundi muda turut turun untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia menjadi pemilih buat kali pertamanya.
Bagi pengundi muda Siti Nur Amanina Jasnira, 20 berasal dari Johor Baharu, kini menetap di Putatan berkata, dia sangat teruja dan tiba di pusat mengundi seawal 8.00 pagi tadi.
“First time (pertama kali) mengundi rasa macam gementar sikit, ingatkan ramai orang, saya tiba jam 8.00 pagi tadi.
“Saya harap pemimpin seterusnya akan dapat terus memajukan kawasan parlimen ini,” katanya semasa ditemui pemberita hari ini.
Manakala seorang pengundi muda lagi hanya dikenali sebagai Nabila dari Kampung Meruntum, tiba di pusat pengundian dalam jam 8.00 pagi.
“Perasaan excited (teruja) sebab pertama kali mengundi, saya mahu tengok macam mana proses mengundi tu.
“Alhamdulillah, proses pengundian di sini berjalan lancar sebab lorong (saluran) undi 18 kurang pengundi yang hadir setakat ini,” katanya.
Bagi Darlene Sylvester ,19, berasal dari Putatan berkata perasaan teruja juga pertama kali mengundi dan berharap kerajaan yang memerintah akan dapat menangani apa sahaja masalah yang rakyat hadapi.