KOTA KINABALU — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan peratusan keluar mengundi setakat 1 petang sudah mencecah 50%.
Ini bermakna lebih 10.6 juta pengundi telah membuang undi setakat ini, dengan pengundian dijadualkan berakhir jam 6 petang di Semenanjung dan 5.30 petang di Sabah dan Sarawak.
Antara calon yang terawal keluar mengundi ialah calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali yang membuang undi di saluran 4, SMK Pengalat, Papar, pada jam 8.30 pagi, ditemani oleh isteri, Datin Dr. Rafidah Salleh.
Sementara di Putatan, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya membuang undi di saluran 3 di SMK Putatan, bersama isteri, Datin Dayang Siti Noor Hayyat juga pada jam 8:30 pagi.
Dijangka sebanyak 21,173,638 rakyat Malaysia mengundi hari ini dalam PRU15 bagi menentukan parti atau gabungan yang mendapat mandat membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.
Kempen PRU15 yang bermula pada 5 November berakhir tengah malam tadi dengan hari ini ditetapkan hari pengundian di seluruh negara.