PRU15 : 8,361 pegawai, anggota polis bertugas di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU : Seramai 8,361 pegawai dan anggota polis ditugaskan sepanjang proses pembuangan undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di seluruh Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata, proses pengundian di seluruh negeri hari ini berjalan lancar walaupun keadaan cuaca mendung dan hujan di beberapa daerah.

“Sebanyak 874 lokasi pembuangan undi dibuka di seluruh Sabah dan penggunaan helikopter juga telah digunakan bagi membawa peti undi ke 87 kawasan yang terpencil dan tidak dapat dihubungi  dengan kenderaan lain.

“Kerjasama semua pihak membolehkan semua peti undi selamat sampai di semua pusat mengundi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Idris berkata, sepanjang pemantauan semasa proses pengundian berlangsung pihaknya mendapati tiada Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dinaiki air.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 401 permit kempen pilihanraya telah diluluskan bagi seluruh kontinjen Sabah sehingga tempoh kempen berakhir semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan kesemua kempen yang dijalankan mempunyai permit dan tidak melanggar syarat kempen yang telah ditetapkan.

“Pada masa yang sama, lima laporan polis diterima dalam tempoh 24 jam, manakala, bagi tempoh 26 Oktober hingga 18 November 2022 sebanyak 112 laporan polis telah diterima dan 28 kertas siasatan telah dibuka siasatan.

“Sepanjang tempoh berkempen juga kita tidak mengesan sebarang insiden tidak diingini berlaku,” katanya.

Katanya, pihaknya menyeru agar semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung di dalam PRU15 agar mematuhi undang-undang dan arahan semasa pihak polis bagi memastikan proses pilihan raya dilaksanakan dengan teratur dan lancar. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *