KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menolak sekeras-kerasnya dakwaan Barisan Nasional (BN) Sabah bahawa GRS mengisytiharkan perang terhadap BN seperti yang dituduh pengerusinya, semalam.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata GRS tidak pernah.mengisytiharkan perang terhadap BN seperti yang didakwa oleh Datuk Bung Moktar Radin.
“Saya berharap UMNO/BN akan terus bekerjasama dalam mentadbir negeri ini selaras dengan mandat yang diberikan rakyat kepada kerajaan GRS-BN pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRN16) yang lalu.
“Kita tidak ada apa-apa alasan atau perlunya isytihar perang terhadap BN. Malah, dalam pilihan raya baru-baru ini, kita (GRS) dan saya sendiri turun padang berkempen untuk membantu calon BN di kawasan mereka,” kata Hajiji.
Hajiji yang juga Ketua Menteri berkata janji sebelum pilihan raya antara GRS dan BN adalah untuk GRS memberi sokongan terhadap UMNO/BN seandainya parti tersebut
layak menjadi Perdana Menteri dan membentuk Kerajaan.
“Bagaimanapun, apabila BN kalah dan UMNO tidak layak menjadi Perdana Menteri, maka perjanjian itu tidak sah dengan sendirinya.
“Perlu ditegaskan juga bahawa tiada janji sebelum pilihan raya dengan orang (pihak) lain termasuk dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya menerusi satu kenyataannya di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Hajiji juga menafikan dakwaan bahawa beliau bersama Ahli Parlimen PKDM (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat) dan Bebas telah menemui Tan Sri Muhyiddin Yassin di kediaman pemimpin berkenaan di Kuala Lumpur.
“Mereka berjumpa dengan Tan Sri (Muhyiddin) atas kerelaan mereka sendiri dan saya tidak terlibat langsung pada perjumpaan tersebut,” katanya.